Terkini

Tertuduh Kes Bunuh, Larikan Kepala Mangsa Perlu Rawatan - Peguam

SLIM RIVER: Mahkamah Majistret di sini hari ini dimaklumkan, pemandu lori yang berdepan tuduhan membunuh pekerja kedai barangan lusuh dan melarikan kepala mangsa pada November lalu, memerlukan pemantauan serta pemeriksaan mental.


Tertuduh Kes Bunuh, Larikan Kepala Mangsa Perlu Rawatan - Peguam
Tertuduh Kes Bunuh, Larikan Kepala Mangsa Perlu Rawatan - Peguam (Foto BH)
Ini kerana tertuduh, Muhamad Naji Saad, 36, pernah mengalami kemalangan pada September lalu hingga lori dipandunya musnah sepenuhnya dan berlaku hentakan pada kepala dan belakang tertuduh, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada proses imbasan dilakukan pada bahagian kecederaan berkenaan.

Baca: Pemandu Lori Kontena Bawa Lari Kepala Lelaki Yang Dipenggalnya!..


Selain itu, mahkamah turut dimaklumkan tiga adik lelaki tertuduh turut menjalani rawatan mental.

Perkara itu dimaklumkan peguamnya, Hatim Musa kepada Majistret Syahdatul Kamilah Zakaria, ketika kes itu disebut semula hari ini.

Justeru, Hatim memaklumkan kepada mahkamah bahawa rawatan di Penjara Taiping tidak mencukupi dan memohon mahkamah membenarkan anak guamnya dipantau dan diperiksa oleh pakar mental.

Syahdatul Kamilah bagaimanapun mengarahkan Hatim meminta kebenaran itu daripada pihak Jabatan Penjara dan menetapkan kes berkenaan disebut semula pada 5 Februari depan.


Terdahulu, pihak pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa, Wilson Noheck, memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan baharu kes itu kerana laporan bedah siasat belum diterima.

Pada 25 November lalu, Muhamad Naji hanya mengangguk sambil menjawab 'saya faham' sebaik kertas pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Syahdatul Kamilah, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

BACA: Suspek Penggal Kepala mangsa bawa lari dengan Lori Kontena direman

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa membunuh K Ganesan, 50, di tepi jalan Kampung Batu 4, Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur, arah Slim River, daerah Muallim di sini, kira-kira jam 2.30 pagi pada 13 November lalu.

Tertuduh yang ketika itu tidak diwakili peguam didakwa melakukan pembunuhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Sebelum ini, media melaporkan, pada hari kejadian, polis menemui tubuh lelaki tanpa kepala dalam longkang dan kemudian menahan seorang lelaki di rumah bapanya dekat Kampung Air Jada, Gerik, pada petang hari sama, susulan siasatan menemui beberapa barang kes termasuk kepala mangsa.

-Berita Harian


No comments