Umat Islam tidak tertakluk keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, kata peguam

Fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan mengatakan menghisap rokok elektronik atau vape haram bagi umat Islam adalah semata-mata berbentuk nasihat, kerana hal-ehwal berkaitan agama Islam berada di bawah bidang kuasa negeri, kata peguam perlembagaan.


Umat Islam tidak tertakluk keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, kata peguam
Peguam Fahri Azzat berkata, fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mengikat umat Islam kecuali pihak berkuasa fatwa di peringkat negeri masing-masing menerima pakai keputusan mengharamkan rokok elektronik atau vape. – Gambar AFP, 8 Januari, 2016.
Mereka berkata fatwa itu tidak mengikat umat Islam kecuali pihak berkuasa fatwa di peringkat negeri masing-masing menerima pakai keputusan itu.

Begitu pun, mereka berkata, ia tertakluk kepada cabaran undang-undang atas alasan diskriminasi, jika orang bukan Islam dibenarkan untuk menghisap vape.


Peguam Fahri Azzat berkata, keputusan majlis itu, di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), tidak mempunyai kedudukan undang-undang.
"Ia semata-mata nasihat melainkan sehingga sekiranya ia diterima pakai jawatankuasa fatwa negeri. Hanya selepas itu ia terpakai kepada orang Islam di negeri itu," katanya.

Peguam itu berkata demikian mengulas keputusan 7 negeri yang mengharamkan vape bagi umat Islam berikutan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 21 Disember.

Pahang negeri terakhir setakat ini mengisytiharkan vape haram susulan keputusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang (Muip) pada Isnin.

Timbalan Presiden Muip Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata vape sudah dilarang di dalam dan sekitar masjid, dan juga pejabat jabatan agama.

Muip juga melarang kakitangan dan pelawatnya menghisap vape di premis mereka, katanya.

"Ia selaras dengan arahan Kementerian Kesihatan yang mengharamkan merokok di tempat awam. Vape menyebabkan ketidakselesaan kepada orang lain dan boleh menjadi berbahaya kepada kesihatan. Juga, ia pembaziran wang," kata Wan Abdul Wahid dipetik akhbar The Star.

Pada Rabu, kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan vape haram tetapi ia tidak akan mengharamkan penjualan produk vape di negeri itu.

Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Melaka sebelum ini mengisytiharkan mereka akan mengharamkan vape berikutan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Pengerusi majlis itu Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, keputusan itu dibuat selepas Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam di Malaysia.

Muzakarah itu turut dihadiri mufti negeri, timbalan mufti dan ahli yang dilantik Majlis Raja-raja.

Shukor juga mengesyorkan negeri lain mengikut keputusan majlis itu.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri boleh membuat keputusan mengenai pengharaman vape jika terdapat kepentingan dan faedah awam.

Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Perak, Perlis, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan mempunyai Raja-raja Melayu perlembagaan dan masih mengekalkan kuasa ke atas hal ehwal agama di negeri mereka.

Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah tidak mempunyai Sultan, tetapi Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Islam di setiap negeri ini, begitu juga di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Peguam Syahredzan Johan berkata, umat Islam hanya tertakluk di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri di bawah naungan raja mereka masing-masing.

"Saya rasa, keputusan majlis fatwa kebangsaan itu memberi mereka (negeri-negeri) alasan mudah untuk mengharamkan vape di kalangan umat Islam," kata peguam itu.


Syahredzan berkata sebarang tindakan menutup premis menjual produk vape sepatutnya dibuat di bawah undang-undang kerajaan tempatan.

"Situasi ini harus terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam.

"Untuk mengatakan mereka mengikut majlis fatwa kebangsaan sama dengan mengatakan badan kebangsaan itu memerintah dan mempengaruhi apa yang negeri lakukan dalam lingkungan bidang kuasa mereka," katanya. TMi – 8 Januari, 2016


No comments