Terkini

Umno Kedah isytihar hilang kepercayaan terhadap Mukhriz

Umno Kedah memulakan langkah menyingkirkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar apabila mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadapnya.


Umno Kedah isytihar hilang kepercayaan terhadap Mukhriz
Timbalan Pengerusi Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah (tengah) pada sidang media di Alor Setar Kedah hari ini menyatakan hilang kepercayaan kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dikatakan gagal menggerakkan jentera Umno. – Gambar Facebook, 20 Januari, 2016.
Pendirian itu dibuat Timbalan Pengerusi Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah pada satu sidang media di Alor Setar, Kedah hari ini.

Beliau mengadakan sidang media mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melakukan perubahan pucuk pimpinan Kedah yang menurutnya dilihat gagal menggerakkan jentera Umno serta menjana ekonomi negeri.


Dalam kenyataannya, beliau berkata Mukhriz gagal menyatupadukan Umno dan jentera parti itu di semua peringkat di Kedah.

Turut dibangkitkan, ketiadaan sebarang perancangan strategik oleh Umno untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Sebagai menteri besar Kedah, beliau juga gagal untuk urus tadbir kerajaan negeri," kata Bashah.

Sehubungan itu, pihaknya memohon kepada Najib menukar Mukhriz sebagai menteri besar Kedah dan pengerusi perhubungan Umno Kedah.

Mukhriz bin Mahathir
Dato' Seri Paduka Mukhriz bin Mahathir, Menteri Besar Kedah
Beliau berkata, pihaknya mengharapkan Najib mengambil tindakan terhadap tuntutannya demi kelangsungan Umno dan kepentingan rakyat Kedah.

Sidang media itu turut dihadiri 14 ketua bahagian Umno Kedah, kecuali Jerlun, Padang Terap dan Kulim Bandar Baharu, yang diwakili timbalan ketua bahagian masing-masing.

Turut hadir adalah ketua semua sayap parti dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN). – 20 Januari, 2016. - Sumber: The Malaysian Insider



No comments