Terkini

Untuk penyokong wanita Red Warriors, Vida cipta mahkota khas

KUALA LUMPUR ― Datuk Seri Hasmiza Othman bakal mengeluarkan “mahkota” eksklusif kepada peminat wanita pasukan bola sepak Kelantan bagi menggalakkan mereka hadir ke stadium memberi sokongan.


Untuk penyokong wanita Red Warriors, Vida cipta mahkota khas

Pengasas syarikat kosmetik Vida Beauty Sdn Bhd berkata mahkota itu bakal menjadi satu pengenalan baharu kepada peminat pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors dengan menawarkan harga yang mampu dimiliki.


“Saya cuba mencipta keunikan baharu dengan mengeluarkan mahkota sebagai barangan cenderahati untuk penyokong wanita.

“Jika penyokong lelaki ke stadium membawa mafla, jadi kita mahu golongan wanita memakai mahkota di kepala.

“Saya yakin ia mampu mencetus fenomena baharu dalam kalangan penyokong. Jangan khuatir cenderamata ini akan dijual dengan harga mampu milik,” katanya seperti dilaporkan Kosmo! hari ini.

Hasmiza atau lebih dikenali dengan Vida berkata mahkota itu dijangka bakal menjadi cenderamata yang terlaris terutamanya kepada golongan wanita.

“Ketika ini saya sedang meneliti reka bentuk bagi memastikan mahkota yang dihasilkan itu menepati citarasa golongan wanita,” beliau dilaporkan berkata.


Jutawan kosmetik sebelum ini dilantik menjadi penasihat kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan selepas berjaya dipilih menjadi penaja utama untuk dua musim.

Beliau menetapkan dua syarat utama penajaan iaitu Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Baru perlu dicat merah jambu dan jersi pasukan perlu diletakkan logo Pamoga dan Qu Puteh. - themalaymailonline.com


No comments