Video: 4 maut, 18 cedera serangan di masjid Syiah, Arab Saudi

JEDDAH, Sabtu – Serangan menyasarkan masjid Syiah di wilayah timur Arab Saudi malam tadi waktu Malaysia menyebabkan sekurang-kurangnya empat terbunuh, manakala 18 lagi cedera, kata Kementerian Dalam Negeri.


Video: 4 maut, 18 cedera serangan di masjid Syiah, Arab Saudi

Serangan berlaku di Masjid Imam Ridah di perkampungan Mahasin, kira-kira 150 kilometer ke selatan bandar wilayah Dammam yang kaya minyak.


Saksi yang berada tidak jauh dari tempat kejadian memberitahu media Arab Saudi, penyerang tiba berhampiran masjid itu dengan tiga kereta dan mula menembak ke arah balai polis berdekatan serta kenderaan pihak berkuasa keselamatan.

Penyerang kemudian menghampiri masjid, dan penyerang bunuh diri memasuki masjid itu tetapi ditahan seorang pengawal, Hussain al-Badri.



Penyerang bagaimanapun meletupkan ‘bom jaket’ dipakainya di pintu pagar masjid menyebabkan kedua-duanya terbunuh.

Seorang lagi penyerang kemudian memasuki masjid dan mula melepaskan tembakan rambang menggunakan mesingan.


“Kami baru hendak memulakan solat Jumaat apabila terdengar bunyi letupan dan tembakan. Kami kemudian menutup pintu masjid tetapi penyerang meletupkan dirinya menyebabkan pintu masjid berkecai,” kata seorang jemaah, Mohammad bin Salman Al-Ahmadi,25.


Bekalan elektrik terputus dan seorang lagi penyerang mula melepaskan tembakan rambang ke arah jemaah yang cuba bersembunyi.

Rakaman di tempat kejadian menunjukkan jemaah cuba melawan seorang penyerang yang kemudian ditangkap oleh polis.

May tahun lalu, penyerang bunuh diri meletupkan dirinya ketika solat Jumaat di sebuah masjid Syiah di Al-Qadeeh di timur Arab Saudi menyebabkan 21 terbunuh dan 100 lagi cedera. – Agensi


No comments