Video: Bangunan Hotel Address, Dubai terbakar pada malam tahun baru

Salah satu bangunan pencakar langit tertinggi di dunia di Dubai terbakar dan menyebabkan orang ramai yang berkumpul bagi sambutan tahun baru malam tadi panik dan melarikan diri.


Bangunan Hotel Address, Dubai terbakar pada malam tahun baru
Bangunan Hotel Address, Dubai terbakar pada malam tahun baru
Walaupun bangunan Address Downtown Dubai- sebuah hotel lima bintang yang terkenal setinggi 990 kaki itu terbakar, namun tiada kemalangan jiwa berlaku, lapor The Independant.


Api mula marak di bangunan itu ketika jutaan orang ramai sedang bersedia untuk menanti detik tahun baru. Walaupun bangunan itu terbakar namun pertunjukkan bunga api seperti yang dirancang tetap berlangsung.

Menurut The Independant, media tempatan melaporkan, hotel dan pusat membeli-belah berhampiran bangunan yang menempatkan pangsapuri mewah itu telah dipindahkan.

Pejabat media kerajaan juga melaporkan sekurang-kurangnya 14 orang cedera dalam kejadian tersebut.

Orang ramai yang berada berhampiran ketika bangunan setinggi 63 tingkat itu terbakar berkongsi gambar dan video mereka di media sosial.

Ketika kejadian, orang ramai sedang menanti persembahan bunga api memandangkan di tempat berkenaan menawarkan salah satu pemandangan yang terbaik di Dubai kerana ia berdekatan dengan Burj Khalifa, bangunan pencakar langit tertinggi di dunia.


Semasa kebakaran berlaku, terdapat serpihan bangunan yang jatuh ke bawah ekoran angin kencang. Punca kejadian masih tidak diketahui.

Sambutan tahun baru tetap diteruskan dan pertunjukan bunga api mengagumkan dilancarkan dari bangunan Burj Khalifah.

Hotel Address merupakan bangunan keenam tertinggi di Dubai dengan mempunyai 63 tingkat pada ketinggian 991 kaki serta mempunyai hampir 200 bilik dan lebih 600 pangsapuri. - Sinar Harian





No comments