Terkini

Yayasan Salam Akan Usaha Carikan Bantuan Untuk Dhia Aisyah

ALOR SETAR - Yayasan Salam Malaysia (Salam) akan membantu meringankan penderitaan bayi berusia dua bulan lebih, Dhia Aisyah Mohd Faizal yang mengalami tujuh masalah kesihatan sejak kecil.


Yayasan Salam Akan Usaha Carikan Bantuan Untuk Dhia Aisyah

Pengerusi Salam Zon Utara, Fazilah Ismail berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu pasangan Fazuana Hoda, 33, dan Mohamad Faizal Ahmad, 37, kerana simpati dengan nasib anaknya.


“Hati pilu apabila melihat derita ditanggung bayi ini yang mengalami kecacatan kaki dan masalah usus, pundi kencing di luar, ginjal bengkak dan tidak memiliki dubur.

“Untuk itu, kami akan berusaha mendapatkan bantuan susu diperlukan bayi ini demi meringankan beban keluarga berkenaan,” katanya.

Fazilah berkata, pihaknya mendapati keluarga bayi perempuan berkenaan memerlukan lebih RM400 untuk susu jenama Dumex setiap bulan.

“Satu tin susu jenama berkenaan dianggarkan bernilai RM73 untuk kegunaan lima hari, itu pun belum dicampur keperluan lain seperti beg najis,” katanya.

Terdahulu, Pegawai Perubatan Sukarelawan Salam, Dr Fakhiruddin Ahmad Shamsudin turun padang melawat dan melakukan pemeriksaan kesihatan bayi berkenaan sempena Program Ziarah Pesakit.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan penderitaan seorang bayi perempuan, Dhia Aisyah yang menanggung tujuh masalah kesihatan sejak kecil.

Namun, keluarga berkenaan tidak berkemampuan membiayai keperluan anak mereka.


Nasib keluarga itu turut mendapat perhatian beberapa pihak antaranya Lembaga Zakat Negeri Kedah yang menghulurkan bantuan sara hidup RM1,500

Bagi mereka yang ingin sama-sama membantu boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank ibunya, Fazuana Hoda (152077465557).

Sumber: Sinar Harian


No comments