1.5 Juta Bangla? 139 Negara? Siapa Yang Kelentong?

Selepas duduk diam-diam selama beberapa lama, selepas individu daripada pihak pembangkang, badan-badan bukan kerajaan (NGO), parti-parti poltik, orang perseorangan bertanya gerangan Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot Jaem, beliau akhirnya tampil dengan kenyataan mengenai isu 1.5 juta pekerja Bangladesh.


1.5 Juta Bangla? 139 Negara? Siapa Yang Kelentong?

Walaupun kenyataan yang diberikan itu mengejutkan pelbagai pihak, tetapi bukan bagi orang dalam lingkaran media seperti saya.

Kita bukan tidak biasa menerima pelbagai jawapan untuk satu soalan. Sebagai rakyat yang bertamadun dan maju, kita kekal dengan soalan yang sama, malangnya setiap kali satu isu dipersoal, satu soalan itu dijawab dengan pelbagai jawapan ikut tempoh masa dan suka hati pemimpin. Seolah-olah jawapan itu tidak berkesudahan, ada sahaja yang ditokok tambah dan diubah.


Sejak 25 Jun lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, sebanyak 1.5 juta pekerja dari Bangladesh akan dibawa ke Malaysia secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun bagi memenuhi permintaan majikan daripada pelbagai sektor.

Tetapi seolah-olah meletakkan seorang pemimpin kanan dalam situasi serba salah dan kenyataan yang dikeluarkannya itu tidak benar, Richard Riot pula memberikan fakta yang bertentangan.

Agak mustahil jika kata-kata yang diputuskan Ahmad Zahid itu silap (salah) kerana beliaulah pemimpin yang sejak awal bertanggungjawab memberi kenyataan tentang 1.5 juta pekerja dari Bangladesh melalui polisi kerajaan G2G Plus (Kerajaan kepada kerajaan). Maka siapa yang melencong (kelentong) sekarang?

Sebagai rakyat murba (marhaen), saya mahu tahu di mana silap dan yang mana benarnya.

Malah menurut laporan salah satu suara rasmi kerajaan, akhbar Utusan Malaysia, pada 9 Februari yang lalu, kerajaan Bangladesh sudahpun meluluskan draf perjanjian persefahaman (MoU) berhubung penghantaran sebanyak 1.5 juta rakyatnya untuk bekerja di Malaysia.. Bangladesh lulus MoU hantar 1.5 juta pekerja ke Malaysia

“Setiausaha Kabinet Bangladesh, Mohammad Shafiul Alam berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina,” petik laporan itu.

Turut dilapor, Mohammad juga berkata sekiranya MoU itu dimeterai, pihak majikan perlu menanggung kos antara 34,000 taka (RM1,808) hingga 37,000 taka (RM1,968) bagi setiap pekerja warga Bangladesh yang dibawa masuk ke Malaysia.

Manakala akhbar-akhbar tempatan Bangladesh pada 18 Feb meraikan laporan kedua-dua negara sudah menandatangani perjanjian itu secara rasmi oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot dan Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh Nurul Islam.


Ingat, laporan sama juga menyatakan Richard berkata bahawa jumlah keseluruhan pekerja asing berdaftar di negara ini sehingga Disember tahun lalu adalah sebanyak 2,135,035 dengan nisbah jumlah pekerja asing tanpa izin (PATI) adalah lapan orang bagi setiap 10 pekerja asing berdaftar.

Tetapi hari ini, pagi tadi, akhbar media perdana juga melaporkan angka 1.5 juta pekerja Bangladesh yang disebut-sebut sebelum ini sebenarnya adalah jumlah tenaga kerja negara itu yang berdaftar dengan Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh untuk dihantar ke 139 negara seluruh dunia.

Pada waktu yang sama, Zahid Hamidi pula mengeluarkan kenyataan menyatakan pengambilan pekerja Bangladesh diberhentikan serta-mata.

Esok, lusa entah apa lagi kenyataan baharu yang akan dikeluarkan oleh Ahmad Zahid mahupun Richard Riot ataupun menteri lain seperti Datuk Seri Azalina Othman Said atau Khairy Jamaluddin. - Free Malaysia Today


No comments