Terkini

21 wakil rakyat dititah menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah hari ini

ALOR SETAR, Isnin – Dua puluh satu wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di negeri ini dikatakan diperintah menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah, hari ini, berikutan kemelut politik yang menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri sejak kebelakangan ini.


Istana Anak Bukit

Mereka, termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dijangka bertemu tiga ahli Jemaah Pemangku Sultan secara individu, sebelum penyelesaian muktamat dibuat berkaitan tindakan sekumpulan wakil rakyat diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Ahmad Bashah Md Hanipah, mengisytihar hilang kepercayaan kepada Mukhriz sebagai pemimpin.


Sembilan belas wakil rakyat daripada UMNO juga dikatakan menandatangani akuan bersumpah selepas meminta Mukhriz meletak jawatan Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Bagaimanapun, beberapa wakil rakyat, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Siputeh, Datuk Abu Hasan Shariff mendakwa mereka ‘dipaksa’ menandatangani akuan bersumpah itu.

Semalam, dalam satu kenyataan media, Mukhriz berkata, Sultan Kedah dan Jemaah Pemangku Sultan tersinggung dan murka dengan tindakan kumpulan pendesak yang mencetuskan ‘kekacauan’ politik di negeri itu, serta kegagalan enam Ahli EXCO menghadiri mesyuarat mingguan pentadbiran, minggu lalu.

Katanya, pada ketika rakyat Kedah gembira meraikan ulang tahun keputeraan Sultan Kedah ke-88, sekumpulan pemimpin UMNO negeri bertindak mendesak beliau berundur daripada jawatan Menteri Besar.

“Tindakan 12 Ketua Bahagian dan dua Timbalan Ketua Bahagian mengheret sama ketua-ketua sayap dan pemimpin muda dalam UMNO mengadakan sidang media di Alor Setar pada 20 Januari 2016 lalu adalah tidak bertanggungjawab.

“Malah sebilangan yang hadir pada sidang media tersebut telah maklum kepada saya bahawa mereka tidak mengetahui terlebih dahulu tujuan dan intipati kenyataan yang dibuat. Saya percaya desakan mereka tidak mewakili suara majoriti ahli UMNO dan yang lebih penting lagi, kehendak rakyat Negeri Kedah.


“Yang lebih dikesali apabila tindakan itu disertai beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang sudah berikrar taat setia kepada Raja Pemerintah ketika mengangkat sumpah jawatan masing-masing,” kata Mukhriz yang dilantik sebagai Menteri Besar selepas BN merampas Kedah draipada PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.


No comments