71 murid Orang Asli masih dipujuk hadir ke sekolah

Pejabat Pendidikan Daerah Gua Musang akan menggunakan pendekatan memujuk 71 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang masih gagal hadir ke sekolah berkenaaan.


71 murid Orang Asli masih dipujuk hadir ke sekolah

Pegawai Pendidikan Daerah Gua Musang, Muhammad Zahari Othman berkata beberapa program lawatan ke lapan kampung masyarakat itu sedang diatur supaya ibu bapa murid terbabit mengambil berat kehadiran anak-anak mereka ke sekolah.


"Pada perjumpaan kita dengan ibu bapa murid Orang Asli di Pos Simpor pagi ini, mereka menyatakan hasrat menghantar semula anak masing-masing ke sekolah kerana khuatir anak mereka akan ketinggalan dalam pelajaran," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan ibu bapa Orang Asli di Pos Simpor di Gua Musang, hari ini.

Zahari berkata pihaknya menggunakan pelbagai kaedah untuk mengurangkan tekanan terhadap ibu bapa masyarakat tersebut yang masih trauma dengan tragedi kehilangan 7 murid Orang Asli SK Tohoi pada Ogos tahun lepas.


Beliau berkata setakat ini, murid yang hadir di SK Tohoi masih kekal 115 orang berbanding keseluruhan 189 murid.
Zahari berkata 2 murid dari Pos Simpor telah berpindah ke SK Kuala Betis manakala seorang lagi ke sebuah sekolah di luar Kelantan.

Pada Ogos lepas, 7 murid SK Tohoi dilaporkan hilang selepas bertindak melarikan diri daripada asrama kerana takut dikenakan hukuman guru selepas mandi di sungai tanpa kebenaran.

Selepas hampir 50 hari hilang, 2 daripada kanak-kanak itu iaitu Norieen Yaakob, 11, dan Miksudiar Aluj, 12, ditemui dalam keadaan kelaparan dan dehidrasi di tebing sungai dalam hutan di situ.

Empat yang lain - Ika Ayel, 9, Haikal Yaakob, 8, Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7, ditemui mati, manakala Sasa Sobrie, 8, belum ditemui sehingga kini. – Bernama, 3 Februari, 2016.



No comments