Ahli PAC persoal rakan tidak hadir pembentangan laporan akhir ketua audit

Seorang ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyalahkan rakannya kerana pergi ke luar negara biarpun mereka tahu 2 minggu sebelum ini ketua audit negara dijadualkan memberi penerangan berhubung laporan akhir syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).



Ahli PAC itu, yang merupakan sebahagian daripada 14 ahli jawatankuasa pilihan Parlimen tersebut, mempersoalkan adakah ini sengaja dilakukan untuk mengganggu rancangan menerima laporan akhir ketua audit negara.

Ketua audit negara sudah mengemukakan laporan awal kepada PAC pada 10 Julai tahun lepas.


Ahli PAC yang enggan namanya disiarkan, mendakwa Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin dan sekurang-kurangnya 2 ahli lain, adalah antara mereka yang berada ke luar negara.

The Malaysian Insider cuba menghubungi Hasan melalui khidmat pesanan ringkas dan panggilan telefon untuk mengesahkan perkara itu namun telefon bimbitnya dimatikan.

Empat belas ahli PAC terdiri daripada Hasan (Rompin), Timbalan Pengerusi Dr Tan Seng Giaw (Kepong), Datuk Ahmad Hamzah (Jasin), Datuk Liang Teck Meng (Simpang Rengam), Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir (Kulim Bandar Baru), Datuk Wee Jeck Seng (Tanjong Piai), Datuk Koh Nai Kwong (Alor Gajah), Hasbi Habibollah (Limbang), Datuk Nawawi Ahmad (Langkawi), Datuk Dr Marcus Mojigoh (Putatan), Tony Pua (Petaling Jaya Utara), William Leong Jee Keng (Selayang), Datuk Kamarul Baharin Abas (Telok Kemang) dan Datuk Takiyuddin Hassan (Kota Baru).

Ahli PAC yang bercakap kepada The Malaysian Insider itu berkata, beliau terkejut apabila mendapat tahu ketiadaan beberapa ahli, termasuk Hasan, sedangkan mesyuarat pada 24 dan 25 Februari itu dipersetujui pada sesi PAC sebelum ini iaitu pada 11 Februari lepas.

"Mesyuarat yang dijadualkan (pada 24 dan 25 Februari) tidak dapat diteruskan tanpa pengerusi walaupun korum mencukupi," kata ahli PAC itu kepada The Malaysian Insider.

Sekurang-kurangnya 7 ahli, termasuk pengerusi, perlu hadir untuk bermesyuarat.

"Ramai kini melihat mesyuarat yang ditangguhkan sebagai usaha menyembunyikan isu 1MDB dari pengetahuan ahli Parlimen dan orang ramai untuk seberapa lama yang boleh," kata ahli PAC itu.

Beliau berkata dalam mesyuarat terakhir pada 11 Februari lepas, sudah diputuskan PAC akan diberi taklimat ketua audit negara selepas menerima laporan mengenai 1MDB itu pada 24 Februari, sambil menambah ia juga memutuskan PAC akan mengkaji laporan itu sebelum memutuskan jika terdapat saksi lain yang akan dipanggil.

"Paling penting, untuk membuat keputusan sama ada akan memanggil Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hadir menghadap kami bagi menjawab sebarang pertanyaan," kata ahli PAC itu.

Najib yang juga menteri kewangan, merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Dalam reaksi segera kepada laporan The Malaysian Insider mengenai mesyuarat itu ditangguhkan, Hasan berkata laporan akhir ketua audit negara akan dibentangkan pada minggu pertama Mac ini.

Beliau berkata penangguhan itu adalah kerana kebanyakan ahli PAC berada di luar negara bagi menunaikan umrah atau menghadiri komitmen penting.

"Penting untuk semua ahli PAC hadir bagi mendengar pembentangan laporan itu," katanya.

The Malaysian Insider juga melaporkan ahli PAC dimaklumkan penangguhan itu menerusi mesej tengah malam Isnin lepas.

Hasan menggesa orang ramai supaya tidak meragui ketelusan laporan jawatankuasa itu yang akan dibentangkan di Parlimen.

"Keutamaan kami untuk mendengar laporan akhir ketua audit negara terhadap 1MDB dan menyiapkan laporan kami," kata Hasan.

Sumber PAC bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insider, dapatan jawatankuasa Parlimen itu dan laporan ketua audit negara tidak mungkin boleh dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang yang bermula pada 7 Mac.

Semalam, Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang berkata, Hasan perlu menamakan ahli yang berada di luar negara dan menyatakan sebab-sebab ketidakhadiran mereka.

Lim berkata ahli PAC tidak hadir hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk tindakan tatatertib kecuali mereka mempunyai sebab munasabah ke luar negara selepas tarikh 2 mesyuarat PAC (24 dan 25 Februari) itu dimuktamadkan.

PAC yang sebelum ini dipengerusikan Datuk Nur Jazlan Mohamed, memulakan prosiding ke atas 1MDB tahun lalu selepas terdapat dakwaan RM2.6 bilion ke akaun bank peribadi Najib dalam satu laporan The Wall Street Journal (WSJ).

WSJ berkata sumber dana itu tidak diketahui, tetapi akhbar itu melaporkan wang tersebut disalurkan melalui entiti berkaitan 1MDB, jumlah terbesar iaitu AS$681 juta disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib pada Mac 2013, menjelang pilihan raya umum Mei tahun itu.


Nur Jazlan ketika itu berkata PAC tidak boleh menunggu laporan ketua audit negara berhubung syarikat itu kerana terdapat terlalu banyak spekulasi daripada orang ramai ke atas kedudukan kewangan firma pelaburan itu.

Syarikat pelaburan strategik negara itu mencuri tumpuan umum terutamanya kerana ia menanggung lebih RM42 bilion hutang sejak beroperasi 6 tahun lalu.

Bagaimanapun, Nur Jazlan dan 3 ahli PAC lain digugurkan daripada jawatankuasa Parlimen itu selepas mereka dilantik ke dalam Kabinet Najib pada Julai tahun lepas.

Prosiding itu dihentikan buat sementara waktu sehingga Hasan yang baru 5 bulan dipilih sebagai ahli Parlimen Rompin, mengambil alih jawatan pengerusi PAC pada Oktober tahun lepas. – TheMalaysianInsider 25 Februari, 2016.


No comments