Akhirnya 2 isteri dengar nasihat Ashraf Muslim tutup akaun instagram

Pelakon Ashraf Muslim berasa lega apabila kedua-dua isterinya iaitu Noor Dayana Lokman, 29, dan Wan Sakinah Ahmad Saburi, 32, akhirnya mendengar nasihat untuk menutup akaun laman sosial Instagram mereka beberapa bulan lalu.


Akhirnya 2 isteri dengar nasihat Ashraf Muslim tutup akaun instagram
Ashraf, 35, berkata, hati kedua-dua isterinya terbuka untuk berbuat demikian selepas mendengar ceramah agama tentang bahaya laman sosial yang boleh merobohkan rumah tangga seseorang.

“Alhamdulillah saya sangat bersyukur apabila isteri-isteri saya dapat hidayah untuk menutup laman Instagram mereka dan tidak lagi berkongsi gambar-gambar keluarga kami.


“Saya sudah nasihatkan untuk tutup laman sosial itu sejak setahun lalu, namun tidak memaksa sehingga mereka sendiri dengan rea hati menutupnya,” ujar Ashraf kepadamStar Online, di sini, Selasa.

Ashraf berkata demikian ketika ditemui pada sidang media teater Muzikal Randai Cindua Mato, yang diadakan di Istana Budaya.

Tambah Ashraf, dia menyedari laman sosial menjadi punca utama kepada kemusnahan institusi kekeluargaan dan menakibatkan perceraian berlaku di negara ini.

Katanya, laman sosial juga boleh menyumbang kepada unsur-unsur negatif menerusi komen-komen yang tidak sepatutnya.

“Saya sedar kerana saya sering mendapatkan maklumat dan pandangan daripada pihak jabatan agama tentang punca utama masalah perceraian dan memang mengejutkan ia daripada laman sosial.

“Daripada situ saya tidak selesa isteri-isteri saya berkongsi gambar keluarga kami di laman sosial. Ini kerana komen-komen orang luar yang suka membandingkan mereka sedikit sebanyak akan menjadi punca masalah keluarga,” ujarnya.

Tambah Ashraf, kedua-dua isterinya itu bukan selebriti yang memerlukan medium itu untuk mempromosikan produk mereka.

Selain itu, dia juga tidak membenarkan anak-anak mereka mempunyai laman sosial seperti anak selebriti lain.

“Biar saya seorang sahaja yang ada laman sosial kerana saya perlu promosikan drama-drama yang saya terbitkan, mereka bukan artis untuk berbuat begitu.

“Anak-anak pun saya tidak mahu ada laman sosial kerana mereka adalah ahli syurga dan tidak ada dosa lagi (belum cukup umur), jadi mengapa perlu dedahkan mereka kepada perkara tidak bermanfaat,” katanya.

Tambah Ashraf, kehidupan keluarga mereka ternyata lebih tenang semenjak kedua-dua isteri tidak berhubungan secara terbuka dengan laman sosial tersebut.

Ashraf dan Dayana mendirikan rumah tangga pada 30 Ogos 2011 di Mekah dan dikurnikan seorang cahaya mata iaitu Anas Ashraf yang baharu berusia dua bulan.

Ashraf bersama dua isterinya. FOTO: Thephotolicious
Ashraf bersama dua isterinya. FOTO: Thephotolicious
Bagaimanapun pelakon itu pada 25 Julai 2013 membuat kejutan apabila mengumumkan telah berkahwin buat kali kedua dengan Wan Sakinah Ahmad Saburi pada 7 Julai 2013 di Pattalung, Selatan Thailand.

Hasil perkahwinan itu mereka mempunyai dua orang anak iaitu Sarah Ashraf, 2, dan Adam Ashraf kini berusia lima bulan.

Dalam pada itu, bercerita tentang teater berkenaan, Ashraf berkata dia menerima tawaran tersebut kerana ia berkaitan dengan warisan dan adat yang perlu didedahkan kepada masyarakat.

Katanya, tawaran untuk membintangi watak sebagai Raja Mudo adalah sesuatu yang tidak boleh dilepaskan.


“Teater ini sangat istimewa kerana ia adalah teater tradisional yang jarang diterbitkan secara kormersial.

“Saya suka watak ini kerana sangat mencabar dan ia mengenengahkan tentang adat-adat budaya masyarakat Minangkabau yang ramai tidak tahu,” ujarnya.

Antara pelakon yang terlibat ialah Remy Ishak, Azhan Rani, Puteri Aishah, Ebby Yus dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Teater Cindua Mato bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 25, 26 dan 27 Mac depan. - mStar


No comments