AKHIRNYA.. Putrajaya beku kemasukan semua pekerja asing, termasuk Bangladesh

Putrajaya menangguhkan pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber, termasuk Bangladesh, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sehari selepas menandatangani perjanjian dengan Dhaka untuk menghantar pekerja Bangladesh ke Malaysia.


Putrajaya beku kemasukan semua pekerja asing, termasuk Bangladesh

Pengumuman Zahid juga muncul beberapa jam selepas menteri sumber manusia berkata tidak semua daripada 1.5 juta pekerja Bangladesh akan masuk ke Malaysia.

Datuk Seri Richard Riot berkata, jumlah itu adalah semata-mata bilangan warga Bangladesh yang berdaftar dengan kerajaan mereka untuk pekerjaan.


Zahid berkata demikian di Kuching, Sarawak, hari ini, di mana beliau berkata penggantungan itu diputuskan selepas pertimbangan teliti manakala kerajaan juga akan mengkaji semula perubahan terbaharu sistem levi kepada pekerja asing.

Kedua-dua sistem levi baharu lebih tinggi ke atas majikan yang menggunakan pekerja asing dan rancangan untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh dikritik kumpulan majikan dan kesatuan sekerja.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata, majikan sebaliknya digesa mengupah penduduk tempatan dan pengambilan buruh asing ditangguhkan sehingga keadaan memerlukan.

Selain itu, kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada program pengambilan semula bagi pekerja tempatan di samping meningkatkan penguatkuasaan ke atas buruh asing tanpa izin.

"Pekerja asing sedia ada, terutama yang bekerja dengan permit sudah tamat tempoh atau tanpa dokumen sah, tidak dibenarkan bekerja di Malaysia," katanya selepas majlis menemui anggota tentera di Kem Muara Tuang di Sarawak hari ini.

Rancangan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh dalam tempoh 3 tahun diumumkan tahun lepas, tetapi hanya baru-baru ini Zahid mengatakan angka itu ialah rakyat yang mendaftar dengan kerajaan mereka untuk bekerja.

Beliau juga mempertahankan langkah itu, mengatakan rakyat tempatan tidak mahu melakukan kerja kotor, berbahaya dan sukar (3D) dan mencabar belia Malaysia untuk berbuat demikian.


Bagaimanapun, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengatakan ramai rakyat Malaysia melakukan pekerjaan seperti itu, tetapi di luar negara seperti di Singapura, di mana mereka dibayar gaji yang lebih baik.

Sistem levi baharu juga menjadi titik pedih bagi majikan, yang perlu membayar RM2,500 bagi setiap pekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan, dan RM1,500 bagi setiap pekerja dalam sektor perladangan dan pertanian. – TMI: 19 Februari, 2016.


No comments