Alas kaki bertulis ayat al-Quran dirampas di kedai serbaneka bukan Islam

JOHOR BAHRU, Jumaat – Dua kedai serbaneka di bandar ini diserbu selepas pihak berkuasa menerima aduan bahawa premis terbabit menjual alas kaki yang mengandungi perkataan ‘Allah’ dan beberapa ayat suci al-Quran, termasuk dari surah Quraisy.


Alas kaki bertulis ayat al-Quran dirampas di kedai serbaneka bukan Islam

Serbuan dilakukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri (KPDNKK) selepas menerima maklumat umat Islam yang berasa terhina dengan perbuatan pemilik premis terbabit.


Ketika mengesahkan serbuan itu semalam, Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Abd Mutalip Abd Rahim berkata, Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) dengan kerjasama KPDNKK menyerbu premis terbabit dan merampas alas kaki itu.

Beliau yakin kegiatan menjual alas kaki yang mengandungi ayat suci al-Quran itu satu perbuatan untuk menghina dan menyentuh sensitiviti umat Islam.

Katanya, siasatan terhadap aduan oleh pelanggan premis terbabit di Taman Johor Jaya dan Taman Teratai di Sukdai itu, mendapati kes berkenaan adalah benar dan tindakan segera diambil.

“Dalam serbuan itu 360 alas kaki yang menggunakan pelapik mengandungi ayat suci al-Quran dirampas dan mengikut maklumat, ia dihasilkan di sebuah kilang di Melaka sebelum dijual di Johor.

“Mungkin ramai peniaga di luar tidak memahami soal sensitiviti umat Islam kerana ia bukan sekadar membabitkan makanan halal, malah perkara yang membabitkan penggunaan ayat suci al-Quran,” katanya.

Difahamkan, tiada peruntukan undang-undang secara langsung di bawah KPDNKK untuk dikenakan terhadap peniaga terbabit berkaitan perkara itu.



No comments