‘ALLAH, ALLAH macam mana ni?’ kata Ustaz Kazim

Jadual pendakwah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias yang sangat padat, selain memaksa beliau menjelajah ke seluruh negara bagi memenuhi jemputan orang ramai dipercayai menjadi punca beliau terpaksa dimasukkan ke hospital.



Beliau yang dikenali dengan panggilan Ustaz Kazim tetap memenuhi setiap undangan diterima semata-mata ingin bertemu orang ramai tanpa pernah mengadu penat.


Pegawai Khasnya, Rafi Rahman memberitahu, pendakwah itu memang sudah nampak kurang sihat dan wajahnya pucat, tetapi tetap mahu meneruskan ceramah di pekarangan Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sri Gunong, Bachok, kelmarin.

Rafi berkata, Mohd Kazim memang begitu komited dengan urusan kerjanya meskipun terpaksa menahan kesakitan sebelum itu.

“Pagi ini (semalam), dia sudah boleh bercakap lebih jelas berbanding malam tadi (kelmarin) dan perkara yang diucapkannya, dia terkilan kerana tidak dapat menghabiskan ceramahnya.

“Ketika dalam perjalanan ke hospital pun dia kata ‘ALLAH, ALLAH macam mana ni’, tetapi saya pujuk, kesihatan dia lebih penting buat masa ini. Dia dah janji nak datang tetapi hanya dapat berceramah selama tujuh minit. Memang dia terkilan sangat,” katanya.

Malam kelmarin, Ustaz Kazim dikejarkan ke HUSM selepas difahamkan terkena serangan jantung.

Mohd Kazim menjayakan ceramah anjuran Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) jam 9.30 malam sebelum mengadu keletihan dan sakit dada.

Sumber : Sinar



No comments