Terkini

Baik dan Buruk WhatsApp: 7 Jenis Group WhatsApp Paling Lazim

Apa kebaikan dan keburukan Whataspp jika dinilai kesannya ke atas kehidupan seharian?. Di zaman teknologi maklumat ini, kebolehan untuk berkomunikasi dengan pantas dan mudah memang sudah menjadi satu keperluan.


Baik dan Buruk WhatsApp: 7 Jenis Group WhatsApp Paling Lazim
Baik dan Buruk WhatsApp: 7 Jenis Group WhatsApp Paling Lazim
Satu aplikasi popular di kalangan pengguna adalah WhatsApp, yang dimiliki oleh Facebook sejak awal 2014. Dianggarkan 1 bilion orang menggunakan aplikasi ini, menjadikannya aplikasi pesanan ringkas paling popular di dunia. Lebih 30 bilion mesej WhatsApp dihantar setiap hari.

Pentingnya WhatsApp dalam kehidupan seharian boleh dinilai dari reaksi pengguna apabila operasi aplikasi ini terganggu, walaupun untuk seketika.

Selain daripada komunikasi antara individu, satu kegunaan WhatsApp adalah membentuk kumpulan yang membolehkan kita boleh berbual-bual dengan ramai orang pada waktu yang sama.
Memang tidak dinafikan, jika digunakan tanpa sebarang pengawasan, WhatsApp boleh mendatangkan impak yang negatif.

Banyak group WhatsApp yang kita ‘mute’ kerana hari-hari membincangkan perkara yang tidak berfaedah, malahan dijadikan ruang untuk menyebarkan fitnah.

Namun begitu, kita harus meneliti konteks yang lebih besar di mana WhatsApp ternyata memudahkan hidup kita.

Perniagaan melalui WhatsApp mahupun penyebaran maklumat penting dalam kelompok besar antara contoh terbaik mengapa aplikasi ini begitu popular.
Untuk membantu kita menilai kebaikan dan keburukan Whatsapp dari aspek kehidupan seharian, mari kita lihat 7 ‘group’ WhatsApp yang paling lazim.

1) Group Bekas Rakan Sekolah

Pada asalnya group ini diwujudkan atas dasar nostalgia, di mana kita boleh kembali bertemu dengan rakan di sekolah dahulu seperti majlis ’reunion‘.

Di majlis tersebut, topik perbualan yang popular adalah “Kerja di mana?“, “Dah kahwin ke?” mahupun “Eh dah kurus ya awak”. Group ini berbual dengan topik yang serupa setiap hari kerana ada ramai ahli maka kita kena tahu semua pekerjaan mereka.

Apabila dah tahu status perkahwinan semua orang, group ini mula hilang arah. Ahli-ahli mula berkongsi jenaka-jenaka yang diambil daripada Facebook ataupun Twitter.

Kadang-kadang bila isteri kita ternampak gambar gadis yang mendedahkan aurat berat di telefon kita, kita tahu group inilah yang harus dipersalahkan.

2) Group Taska

Selepas kita menghantar anak ke taska mahupun tadika, selalunya kita akan dimasukkan ke dalam satu group bersama ibu bapa yang lain.

Di sini kita boleh melihat guru tadika menghantar gambar aktiviti harian anak-anak sebelum ibu bapa memberi komen-komen bangga terhadap anak mereka.

Selebihnya, group ini dijadikan medium pesanan kepada guru agar tidak lupa beri anak sedut Ventolin, memulangkan botol susu yang tertukar, mahupun memberitahu kita ambil anak lambat sebab jalan sesak.

3) Group Jiran Tetangga

Dulu-dulu terbau aroma nasi goreng yang dimasak jiran boleh terus datang bawa pinggan sambil menyanyi keriangan macam iklan Adabi, tetapi generasi muda-mudi mungkin perlu pendekatan berbeza dalam membentuk komuniti kejiranan yang sihat.

Group WhatsApp Jiran Tetangga ini memang bermanfaat kerana dapat melangkaui jurang usia dan status sesama jiran.

Antara perkara yang sering dibincangkan di sini adalah berkenaan yuran pengawal keselamatan, jemputan ke kenduri khatan anak, mahupun bagaimana mengatasi masalah denggi yang semakin meruncing di kawasan perumahan.

4) Group Perniagaan

Group Perniagaan ini sebenarnya ada banyak nama, ada juga yang panggil group #2Kerja.

Namun begitu saya ingin fokus kepada salah satu cabang ‘perniagaan‘ iaitu MLM. Kadang-kadang rakan sekolah yang kita jarang bertegur sapa tiba-tiba memberi salam dan menambah kita dalam group ini.

Kadang-kadang kita nak terus keluar group tetapi tak sampai hati kerana nak jaga hati kawan.

Bagi mereka yang membuat keputusan untuk terus kekal di dalam group ini, rakan kita tadi yang selama ini pendiam akan memberi kata-kata semangat seperti “Sampai bila nak makan gaji?” dan “Taknak hantar mak pergi haji?” agar kita terus berusaha mencari mangsa, maksud saya pelabur lain.

5) Group Saudara Mara

Ini adalah group yang anda tidak boleh keluar sesuka hati, kerana apabila anda balik kampung ketika hari raya nanti, pasti Mak Ngah anda akan mengungkit “Amir Rashidi, kenapa kau keluar daripada group? Kau dah tak sayang Mak Ngah ya?”.

Group ini pasti ada ramai ahli kerana semua orang, dari sekecil-kecil sepupu baru darjah satu, hinggalah ke nenek saudara yang sudah veteran, semuanya memiliki telefon pintar.

Perbualan selalunya berkisar tentang perbandingan keputusan peperiksaan, dapat masuk sekolah asrama ataupun tidak, mahupun perkongsian resepi Ayam Masak Lemak.

6) Group Tazkirah

Semasa di zaman universiti dahulu, apabila ada geng tabligh yang mengetuk pintu, kita dengan berat hati akan memakai seluar panjang dan dengan tabah mendengar ilmu agama yang disampaikan mereka.


Samalah macam group tazkirah, kalau ada orang dah masukkan anda, memang rasa berdosa untuk keluar daripada group.

Maka setiap kali ada orang berkongsi ilmu tajwid ataupun menyuruh anda boikot barangan Yahudi, anda hanya membalas dengan emoji ibu jari sebanyak tiga kali.

Sesekali kakak atau abang tazkirah senior akan berkongsi klip video nasyid ’Kasih Kekasih‘ yang memberi mesej bercinta selepas kahwin.

7) Group Majikan

Group ini selalunya dicipta oleh bos sebagai tempat untuk menyampaikan amanat pengurusan kepada anak buah mereka.

Ahli-ahli di dalam group ini mengamalkan gaya percakapan yang profesional dengan gaya tatabahasa yang betul kerana tidak mahu mengguris hati majikan, sekaligus mempengaruhi KPI mereka.

Namun begitu pasti wujud satu kumpulan berhaluan kiri yang terdiri daripada ahli-ahli Group Majikan, tidak termasuk bos itu sendiri kerana ingin mengumpat dan menyatakan ketidakpuasan hati terhadap pihak pengurusan.

Adakah anda merupakan ahli group WhatsApp yang disebut di atas?

Ataupun anda lebih rindukan zaman sebelum WhatsApp di mana semua orang duduk bersemuka, bebas daripada kekangan telefon pintar untuk membincangkan isu semasa?

Sumber : Awani




No comments