Terkini

Izwan beri amaran rampas anak jika dibesarkan ikut ajaran Hindu

Mualaf Izwan Abdullah, yang menjadi perhatian berikutan kes perebutan hak penjagaan anak, memberi amaran kepada bekas isterinya S Deepa, dia akan merebut anak perempuan mereka daripadanya jika Deepa berkeras membesarkan anak mereka sebagai penganut Hindu.


Izwan Abdullah
Izwan Abdullah melahirkan kebimbangan terhadap perancangan bekas isterinya S Deepa yang ingin membesarkan anak perempuan mereka, Nurul Nabila sebagai penganut Hindu.
Izwan berkata, walaupun beliau berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Persekutuan minggu lepas yang memberikan beliau hak penjagaan anak lelakinya, dan Deepa, hak penjagaan anak perempuan, beliau bagaimanapun, bimbang dengan didikan agama anak perempuannya itu.

BACA: Mualaf Dapat Hak Penjagaan Anak Lelaki, Anak Perempuan Bersama Ibu

Izwan berkata, beliau memahami kasih sayang Deepa terhadap anak-anaknya tetapi menegaskan beliau mahu anak-anaknya dibesarkan sebagai orang Islam, merujuk kepada Mithran, 8, dan Sharmila, 11.


Jika tidak katanya, beliau akan merebut Nurul Nabila (Sharmila) dari daripada ibunya.
"Saya baca dalam media, dia merancang membesarkan mereka sebagai penganut Hindu. Harap-harap ini kali terakhir dia mengatakan begitu.

BACA: Deepa bersumpah anak-anaknya kekal beragama Hindu

"Jika saya dengar sekali lagi dia mahu anak-anak saya jadi murtad, atau kalau saya tahu dia bawa anak perempuan saya ke kuil Hindu atau memberinya makanan tidak halal, saya akan merampas anak perempuan saya itu daripadanya," kata Izwan, 32, kepada The Malaysian Insider.

Izwan berkata, dia begitu bertegas mahu anak-anaknya dibesarkan sebagai orang Islam kerana tidak mahu sebarang percanggahan berhubung agama mengganggu pembelajaran dan ketenangan fikiran mereka.

"Saya ayah mereka dan saya seorang Islam. Mahkamah tidak membatalkan status penukaran agama Islam mereka.

"Jadi, saya rasa mereka harus dibenarkan untuk terus menjadi seorang Islam sehingga mereka berada pada usia yang sesuai untuk membuat keputusan sendiri sama ada mereka mahu meninggalkan Islam," katanya.

Izwan juga berkata, beliau sudah cuba bercakap dengan Deepa bagi membincangkan isu berkaitan penjagaan anak-anak mereka tetapi wanita itu enggan bekerjasama.

"Saya sudah bercakap dengan peguam kami dan meminta nombor Deepa. Saya hanya mahu bercakap dengan dia supaya kami boleh luahkan apa saja isu yang ada.

"Tetapi dia tidak mahu, sebaliknya dia memilih meluahkan kekecewaan melalui akhbar."

Pada 10 Februari, panel 5 hakim diketuai Tan Sri Raus Sharif, yang juga presiden Mahkamah Rayuan memutuskan Deepa dan bekas suaminya, Izwan memperoleh hak penjagaan anak di mana anak perempuan Nurul Nabila diserah kepada ibu dan anak lelaki kepada bapa.

Hakim juga memutuskan kedua-dua ibu bapa itu boleh berhubung dengan anak melalui telefon tanpa had.


Mahkamah Syariah pada 19 September, 2013 memberi hak penjagaan kepada Izwan ke atas kedua-dua anaknya selepas beliau memeluk agama Islam.

Pada 7 April, 2014, Mahkamah Tinggi Seremban memberikan hak penjagaan 2 anak pasangan itu kepada Deepa.

Tetapi, 2 hari kemudian, Izwan menculik Mithran dari rumah Deepa di Jelebu dan menjaganya sejak itu.

Deepa kemudian mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi pada 21 Mei, 2014 yang memerintahkan polis mencari Izwan dan Mithran. – 17 Februari, 2016.
- The Malaysian Insider


No comments