Budak Lelaki 4 Tahun Yang Diculik, Selamat Ditemui

Kota Bharu: Budak lelaki berusia empat tahun yang dilarikan individu tidak dikenali yang mencuri kereta Proton Waja bapanya di Pantai Pacakan, Tok Bali, Pasir Puteh, 6.30 petang tadi, ditemui selamat, 11.40 malam tadi.


Budak Lelaki 4 Tahun Yang Diculik, Selamat Ditemui

Muhd Haris Suhawazi ditemui di stesen minyak di jalan Bypass Pasir Puteh oleh orang ramai.

Bagaimanapun, kereta yang dilarikan tidak ditemui.

Terdahulu, bapa kanak-kanak itu, Suhawazi Suhaimin, 42, berkata, dia membawa Muhd Haris anak bongsu daripada lima beradik ke pantai berkenaan sebagai memenuhi permintaannya untuk mandi laut.


Katanya, turut bersama mereka adalah isterinya dan seorang adik ipar lelaki.

"Apabila hampir tiba di pantai, Muhd Haris tertidur di tempat duduk belakang dan isteri saya menunggunya di tempat duduk depan dengan pintu kereta berkunci serta enjin tidak dimatikan.

"Saya dan adik ipar memacak joran, kemudian adik ipar ke kereta semula untuk mengambil air. Ketika itu ada tiga lelaki menaiki kereta Honda City berhenti berdekatan kereta saya.

"Mereka bertanyakan kereta itu milik siapa dan seorang daripadanya turun sambil acukan pisau ke arah adik ipar dan isteri.

"Dia mengarahkan isteri keluar dan kemudian memandu laju kereta saya bersama anak di dalam," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Suhawazi berkata, adik iparnya kemudian berlari ke arahnya untuk memaklumkan kejadian itu, namun mereka tidak sempat berbuat apa-apa. - myMetro



No comments