Terkini

Debat Terbuka Mufti Perlis Lawan Zamihan Dibatalkan

LEGA… Akhirnya mungkin selepas mengambil kira kegelisahan pelbagai pihak, debat atau wacana yang dirancang untuk menemukan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin melawan Zamihan Mat Zin dibatalkan.


Debat Terbuka Mufti Perlis Lawan Zamihan Dibatalkan

Jika mengikut jadual asal, diskusi ilmiah itu akan diadakan di Dewan B1, Jabatan Perdana Menteri di Presint 1, Putrajaya pada Rabu pukul 9 malam dengan tajuk “Ekstremisme Agama di Malaysia: Satu Diskusi”.

Baca: Dr. Asri setuju berdebat dengan ustaz Zamihan isu ekstremisme agama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mencetuskan sensasi apabila sanggup menganjurkan program itu telah memaklumkan menerusi laman Facebook peribadinya tengah malam Isnin.


“Tanpa menceritakan apa yang berlaku, maka saya ingin umumkan bahawa wacana tersebut dibatalkan. Semua jemputan dan lain-lain urusan tidak diteruskan. Saya memohon maaf di atas apa yang berlaku,” katanya.

Menerusi laman sosial itu. Shahidan bagaimanapun berkata Mohd. Asri dan Zamihan yang juga Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia tetap akan berdiskusi namun dalam skala kecil dan tertutup.

Kata beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Arau, mufti tersebut dan wakil Zamihan malah sudah pun menyatakan persetujuan untuk menghadiri diskusi tertutup berkenaan yang dianjurkan oleh sebuah akhbar tempatan.

“Saya menyeru kepada semua pihak agar tidak membiarkan apa-apa isu berlarutan dengan persepsi. Tetapi paparkanlah fakta serta merta untuk mengelakkan buruk sangka dan fitnah daripada berleluasa,” katanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini turut menasihatkan diskusi ilmu tersebut diadakan hanya secara tertutup bagi mengelakkan perbalahan sesama umat Islam daripada meletus lebih teruk lagi.

Wacana itu asalnya dirancang 10 Februari lalu, namun Zamihan tidak dapat hadir kerana kebetulan terpaksa menghadiri satu program keagamaan dengan banduan beragama Islam di penjara Machang, Kelantan.

Pendakwah itu juga mendakwa tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai tarikh debat tersebut dan cuma mengetahuinya menerusi media massa walaupun pada mulanya sedia bersemuka pada bila-bila masa sahaja.



No comments