Deepa bersumpah anak-anaknya kekal beragama Hindu

Ibu beragama Hindu, Deepa Subramaniam mungkin hilang hak penjagaan anak lelakinya kepada suaminya yang kini beragama Islam susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Rabu, namun menegaskan perjuangannya masih belum berakhir.


Deepa bersumpah anak-anaknya kekal beragama Hindu
S Deepa melahirkan ketidakpuasan hati dengan kegagalan undang-undang melindungi nasib wanita sepertinya yang terpaksa melalui penderitaan berterusan kerana terpisah dengan anak-anak. – Gambar fail The Malaysian Insider, 14 Februari, 2016. - 
Beliau turut menegaskan, anak-anaknya beragama Hindu dan bekas suaminya, Izwan Abdullah "tidak berhak" menasihatinya memeluk Islam.

Malah, pengurus restoran berusia 32 tahun itu mengecam mereka yang mengisytiharkan anak-anaknya – Mithran, 8, dan Sharmila, 11 – sebagai Islam.


"Mereka itu siapa? Saya adalah Hindu dan akan membesarkan mereka sebagai Hindu," katanya kepada The Malaysian Insider dalam satu wawancara.

Beliau juga turut menyentuh isu sistem keadilan di Malaysia, yang memberikan hak penjagaan anak kepada Izwan walaupun melawan perintah mahkamah pada 2014 yang memberikan Deepa hak penjagaan kepada kedua-dua anaknya.

"Kita perlukan undang-undang yang lebih baik untuk menjaga wanita seperti saya, bila suami melarikan diri dan jatuh cinta kepada wanita Islam, dan berakhir dengan menafikan semua hak kami.

"Keadilan jenis apakah ini?" katanya.

Walaupun apa pun yang berlaku kepadanya, Deepa berkata beliau masih cintakan negara ini kerana kepelbagaiannya.

Beliau bagaimanapun menegaskan masih terdapat masalah bagi orang-orang sepertinya dan Indira Gandhi yang diheret ke dalam perebutan pahit bagi mendapatkan hak penjagaan anak semata-mata kerana bekas suami mereka memeluk dan menukarkan agama anak-anak kepada Islam.

"Tetapi apa yang lebih buruk adalah terdapat ramai wanita lain dalam keadaan kesusahan seperti kami yang takut keluar di tempat terbuka. Mereka begitu takut hilang anak-anak kepada suami bertukar agama dan memaksa mereka juga menukar agama. Ini tidak betul. Ia menjadikan Islam kelihatan seolah-olah memaksa orang memeluk Islam," kata Deepa.

"Mesti ada sistem lebih teratur dan undang-undang yang jelas mengenai penukaran agama. Dan apabila seseorang mahu memeluk Islam, mereka perlu melakukan pemeriksaan latar belakang terhadap sebab-sebab mereka mahu menukar agama dan juga menemu bual ahli keluarga.

"Dan saya ingin katakan ini, pihak berkuasa agama Islam perlu memberi fokus kepada kanak-kanak Islam yang dilahirkan secara luar nikah, mereka perlu menjaga kesejahteraan mereka sebagai orang Islam. Tetapi sebaliknya, kanak-kanak ini diketepikan.

"Jaga orang anda sendiri terlebih dahulu, itulah keindahan mana-mana agama. Dan tidak ada agama akan memisahkan anak daripada ibu mereka."

Rabu lalu, Mahkamah Persekutuan memberikan hak penjagaan Sharmila kepada Deepa dan anak lelaki mereka kepada Izwan.

Mahkamah tertinggi itu memutuskan Mahkamah Sivil perlu memutuskan hak penjagaan anak yang ditukar agama kepada Islam, dan Mahkamah Syariah tidak boleh membatalkan perkahwinan sivil apabila salah satu pihak memeluk Islam.

Kedua-dua ibu bapa dibenarkan melawat anak mereka di rumah ibu Deepa, Siti Aishah Abdullah di Jelebu, 2 bulan sekali pada Sabtu, antara 10 pagi hingga 3 petang.

Berikut adalah petikan temu bual di mana Deepa berterus-terang tentang seluruh episod dan rancangan masa depannya.

TMI: Apakah perasan anda mengenai keputusan mahkamah memberikan hak penjagaan anak lelaki kepada bekas suami, Izwan Abdullah?

Deepa: Ia amat menghancurkan hati dan mengecewakan. Saya sangat berharap untuk bersatu kembali dengan anak lelaki saya kerana dia diculik dan saya mengharapkan mahkamah memihak kepada saya.

Saya tidak faham bagaimana mereka bertanya kepada kanak-kanak itu dengan siapa mereka mahu tinggal.

Mereka seharusnya memberikan anak saya ruang untuk tinggal bersama saya kemudian baru menyoalnya, kerana dia dipaksa meninggalkan saya.

TMI: Apa yang anda rasakan anak anda beritahu hakim yang menyebabkan mahkamah memberikan Izwan hak penjagaan?

Deepa: Saya merasakan anak saya sudah "dicuci otaknya" semasa berpisah daripada saya.

Saya tidak faham mengapa mahkamah melakukan sedemikian, Izwan melanggar keputusan mahkamah yang memberikan saya hak penjagaan anak.

Tetapi mahkamah hanya memutuskan hak penjagaan, jadi saya akan bertemu dengan peguam dan Pertubuhan Pertolongan Wanita untuk membincangkan tindakan selanjutnya.

TMI: Sementara itu, bagaimana anda mahu membesarkan anak anda?

Deepa: Bagi saya, kedua-duanya masih penganut Hindu. Siapa mereka untuk mengatakan kedua-dua anak saya sebagai orang Islam, menentukan anutan agama anak-anak saya?

Saya beragama Hindu, saya berkahwin sebagai penganut Hindu dengan lelaki beragama Hindu.

Saya melahirkan anak sebagai penganut Hindu, jadi bagaimana anak saya beragama Islam?

Saya akan membesarkan dan melayan anak saya sebagai penganut Hindu.

Lagi pun, dia yang meninggalkan saya dan mempunyai hubungan dengan wanita Melayu dan sebagainya.

Selain itu, selama 10 tahun perkahwinan kami, dia bukan sahaja mendera saya secara fizikal tetapi juga tidak memberikan bantuan kewangan.

Dia juga dikenali dengan rekod buruk polis. Minta dia buka baju, penuh tatoo geng. Tetapi semua rekod lampau seolah-olah dilupakan selepas dia bertukar agama.

TMI: Kebanyakan keluarga anda sudah memeluk Islam. Adakah mereka menyokong tindakan undang-undang yang anda ambil?

Deepa: Saya enggan mengulas berkenaan perkara itu kerana hal keluarga itu urusan lain. Mereka menganut agama Islam, tetapi mereka melakukannya dengan suka rela. Tiada paksaan untuk mereka memeluk Islam. Tapi dalam kes saya, anak-anak saya diislamkan secara paksaan.

Disebabkan itu, keluarga saya tidak menentang saya, atau melihat saya berbeza kerana saya beragama Hindu.

Mereka sangat menyokong saya, saya amat bersyukur.

TMI: Selepas kes mahkamah, suami anda menasihati anda supaya memeluk Islam. Adakah anda akan mempertimbangkannya?

Deepa: Ini yang saya mahu katakan kepadanya: Jangan menyibuk, jaga urusan sendiri.

Dia patut menjaga isterinya yang sedang hamil. Tiada kaitan dengan saya.

TMI: Apakah tindakan anda seterusnya yang akan diambil?

Deepa: Saya masih mahukan keadilan dan saya akan terus berjuang untuknya tanpa rasa takut. Jika negara ini tidak memberi keadilan kepada orang seperti saya, Malaysia akan menjadi bahan ketawa dunia. Saya akan berunding dengan peguam saya dan Pertubuhan Pertolongan Wanita berkenaan langkah undang-undang apa yang perlu dilakukan seterusnya.

Dalam pada itu, saya akan terus bekerja keras untuk memberi anak-anak saya pendidikan yang baik dan untuk membesarkan mereka betul. Saya tidak kaya tetapi saya bekerja keras.

Saya juga berterima kasih kepada peguam dan NGO yang banyak membantu saya.

TMI: Anak perempuan anda sedang menuntut di sebuah sekolah antarabangsa. Mengapa anda membuat pilihan ini dan bagaimana anda mampu membayar yuran?

Deepa: Seperti yang saya katakan, saya bekerja keras, saya seorang pengurus restoran dan juga mempunyai pendapatan daripada perniagaan sampingan. Tetapi saya juga mendapat bantuan dalam bentuk derma daripada NGO dan mereka yang prihatin.

Saya bangga mengatakan anak perempuan berada dalam keadaan baik di sekolah, tiada gangguan, tiada tekanan, tiada cemuhan.

Tidak seperti ketika dia mendaftar di sebuah sekolah kerajaan di Negeri Sembilan, seorang ustazah meminta beliau memakai tudung dan mereka juga cuba membuat dia makan burger daging. Saya tidak mahu dia melalui semua itu, jadi menyekolahkannya di sebuah sekolah antarabangsa.

TMI: Apakah nasihat anda kepada wanita lain yang menghadapi masalah sama?

Deepa: Jangan takut. suami boleh meninggalkan anda dan menikmatinya, tetapi jangan pernah mengalah untuk anak-anak.

Berdiri untuk hak-hak anda. Sistem di negara ini perlu diubah supaya orang lain seperti kita boleh mendapatkan keadilan. – 14 Februari, 2016. TheMalaysianInsider



No comments