Isteri sakit minta suami hantar ke klinik, suami jawab ‘Kenapa? Dah nak mati ke?’

Suami tanya, ‘Awak dah nak mati sangat ke?’ Panggilan telefon daripada pemanggil yang tidak mahu dinamakan yang diterima bukan sahaja berniat meluahkan rasa, malah dia juga meminta penulis berkongsikan kisahnya supaya dijadikan pengajaran buat pasangan berkahwin di luar sana.


Isteri sakit minta suami hantar ke klinik, suami jawab ‘Kenapa? Dah nak mati ke?’

Mendirikan masjid ALLAH bukan kerja mudah. Apatah lagi dia dan suami bukan berasal daripada keluarga berada.

Namun berkat kesabaran, doa dan tawakal, daripada berkongsi hanya satu gelas plastik di bilik sewa di perkampungan setinggan, kini dia dan suami sudah memiliki tiga buah rumah dan tiga orang anak.


Sebagai umat Islam yang dikurniakan nikmat.

Namun, dalam kesibukkan mengejar harta dunia, bahagia yang diharap berkekalan selamanya hanya sekejap cuma.

Dahulu, suami sering pulang dengan senyuman dan pelukan mesra, namun setelah lebih 25 tahun bersama, sikap suami bertukar hambar.

Dahulu, walaupun dengan gaji empat angka, suami riang mengajak dia dan anak-anak bercuti ke sana ke mari, namun sejak anak-anak semakin dewasa, yang ada hanyalah kedinginan dan ‘perang mulut’ antara suami dan anak-anak.

Dahulu segala kelengkapan rumah dipenuhi bersama, kini, meskipun bergaji mencecah lima angka, suami dingin malah mengherdik dia dan anak-anak setiap kali nafkah zahir diminta.

“Puas saya memikirkan punca, mengapa jadi begini? Di mana silapnya? Adakah kerana saya dan anak-anak terlalu membebankan dirinya?” ujar wanita itu memulakan perbualan.

Sikap suami yang dahulunya penyayang dan romantis bertukar dingin.

“Saya bukanlah berkira, namun suami yang bergaji lebih besar harus memikul tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga, suami dan bapa kepada anak-anak. Barang keperluan dapur tidak dibeli, ketiga-tiga rumah dan kereta juga ditanggung dengan gaji saya sendiri.

“Tidak termasuk dengan keperluan anak-anak yang masih menuntut di institut pengajian tinggi. Semuanya memerlukan perbelanjaan yang besar. Setiap kali saya dan anak-anak meminta, yang kami dapat hanya caci maki dan kadang-kadang tamparan daripadanya,” katanya.

Hal kebajikan dirinya dan anak-anak diabaikan. Perbelanjaan dapur diserah bulat-bulat kepada si isteri. Anak-anak pula terkontang-kanting terbiar di asrama penuh institut pengajian tinggi masing-masing.

Setiap kali anak mengadu sakit, yang diberi hanyalah leteran panjang yang menyakitkan hati.

“Membazir duit aku je (sahaja),”itu dialog biasa suami setiap kali ada antara anak-anak yang tiba-tiba jatuh sakit.

Setiap kali berlaku perbalahan antara suami dan anak-anak, ​​wanita itu hanya diam. Anak-anak yang menjadi pembelanya sering menjadi mangsa pukulan suami. Pernah sekali dia membuka mulut, mengiakan kata-kata anak-anak, namun dia pula yang jadi mangsa seterusnya.

Suatu hari, dia jatuh sakit. Pada mulanya dia tidak ambil peduli. Daripada hanya sakit pinggang dan belakang, kini sakitnya terasa ke seluruh tubuh. Akibat terlalu sakit, dia tidak mampu melelapkan mata.

Suami tidak peduli. Yang penting hanya gajetnya. Si isteri yang sedang dalam kesakitan dibiarkan di sudut katil. Menahan rasa sejuk dan sakit yang menyelubungi seluruh tubuh.

“Apabila saya mengerang sedikit, dipandangnya saya dengan pandangan penuh meluat dan kebencian. Seolah-olah saya seorang penagih dadah yang meminta nyawanya ketika itu,” luahnya.

Suhu bilik yang terlalu sejuk menyebabkan dia beralih tempat tidur ke ruang tamu, manakala suami hanya dibiar dalam bilik tidur.

“Anak sulung datang menjengah saya yang terbaring di ruang tamu. Jam 1 pagi, anak sulung mengurut seluruh tubuh, cuba memujuk saya untuk tidur.

“Suami tiba-tiba keluar dari bilik. Memandang kami berdua dengan pandangan biasa dan terus berlalu ke dapur untuk menjamah sedikit makanan. Wajah anak yang menahan rasa mengantuk ditatap kosong. Wajah saya yang menahan kesakitan dipandang tanpa rasa.

“Sampainya hati suami. Berpuluh tahun saya setia, ini balasan daripadanya untuk saya. Saya yang mengandungkan anak-anaknya. Saya jugalah yang berdiri di sisinya, memberi kata-kata semangat setiap kali dia jatuh.

“Makan pakainya saya jaga. Tempat tidur dan keperluannya saya penuhi. Dan saya tidak pernah meminta apa-apa selama ini, hatta seurat gelang emas sekalipun. Namun tatkala saya mengharapkan simpati suami, yang diberi hanyalah pandangan penuh benci ,” katanya lagi.

Hampir sejam anak sulung mengurut tubuh, wanita itu mengucapkan terima kasih dan menyuruh anaknya untuk masuk tidur. Manakala dia pula menyambung kegelisahan di ruang tamu.

“Hinggalah pada jam 4 pagi, saya meminta suami membawa saya ke klinik kerana tidak mampu untuk memandu sendirian, namun apa yang keluar daripada mulutnya amat mengejutkan,”

“Kenapa? Dah nak mati ke?”

“Sakit sangat ke sampai tak boleh tunggu pagi esok?”

Suami menyoal bertalu-talu apabila si isteri hanya diam. Tanpa berfikir panjang, wanita itu terus mencapai tudung, beg tangan.

“Saya tinggalkan suami dalam keadaan menyinga dan memandu sendirian ke hospital.

“Hati saya hancur,” ujarnya lagi.

Tiba di hospital, wanita itu melalui proses saringan sendirian tanpa kehadiran suami. Suaminya tidak peduli. Yang ada dalam dunianya kini hanyalah dia seorang. Bukan lagi sang isteri dan anak-anak.

Meskipun bingung dengan perubahan dirinya yang semakin lama semakin ketara, wanita itu mengaku tidak berputus asa.

“Saya tunduk kepada ALLAH sentiasa, minta petunjuk dan peluang untuk memperbaiki hubungan dan rumah tangga kami. Doktor sahkan saya mempunyai penyakit batu karang dan perlu ditahan di hospital. Saya menundukkan pandangan sewaktu menerima khabar. Serba salah meninggalkan rumah dan anak-anak begitu sahaja.

“Akhirnya saya memohon untuk pulang ke rumah dahulu untuk mengambil barang dan kelengkapan yang diperlukan sewaktu di hospital,” katanya lagi.

Suami hilang entah ke mana. Tiada khabar tiada berita sejak wanita itu meninggalkannya awal pagi tagi. Saya tidak bertanya dan dia juga tidak menghubungi saya untuk bertanyakan keadaan saya.

Janda berhias jadi punca

“Jam menunjukkan ke arah nombor dua ketika kereta saya menjalar masuk ke ruang parkir. Kereta suami masih di bawah teduhan di hadapan rumah ketika saya masuk ke dalam rumah,” katanya.

Suasana hening seketika. Anak sulung tiada di rumah pada ketika itu kerana menghadiri kuliahnya di universiti.

Wanita itu menuju ke bilik tidur. Terdengar suara suami tergelak kecil sebelum menyambung kembali perbualannya dengan seseorang.

“Saya jadi kaku sebentar sebelum senyap-senyap menyusun langkah menghampiri pintu bilik yang sedikit terkuak.

“Saya mengintai gelagat suami yang ceria, bersahaja melayani panggilan telefon. Di hujung corong, terdengar suara manja seorang wanita lain yang ketawa mendengarkan jenaka dari suamiku sendiri,” luahnya lagi.

Hatinya meluap-luap dengan perasaan marah dan cemburu dengan tiba-tiba. Syaitan pantas memainkan peranan, membisikkan bisikan-bisikan hasutan yang boleh membuatkan dirinya hilang pertimbangan.

Namun segera dia beristighfar dalam hati. Cuba menenangkan perasaan yang kian membara.

Sebaik sahaja suami menyusun langkah ke dalam bilik mandi, wanita itu terus meluru ke meja solek dan mengambil telefon bimbit suami.

Cepat-cepat ditekan butang ‘home’ bagi mengelakkan paparan skrin terkunci secara automatik.

Dibukanya ruangan aplikasi media sosial Whatsapp milik sang suami. Perbualan yang paling atas ditekan tanpa berfikir.

Terpampang wajah seorang wanita berambut kerinting dan bermekap tebal. Dibeleknya perbualan Whatsapp antara suami dan wanita yang tertera dengan nama Sue Mona di skrin.

Penuh dengan ayat-ayat cinta berbaur lucah.

Pandangannya gelap serta-merta. Seluruh dunia terasa ligat berpusing. Dia hampir terjelepuk ke lantai, namun sempat berpaut pada meja solek di sisi.

Suaminya yang keluar daripada bilik air, meluru ke arahnya. Suami cuba merampas telefon bimbit di tangannya.

“Sewaktu bergelut, dia tolak saya sampai terjatuh saya ke meja solek. Sanggup dia membelakangi saya, isterinya yang selama ini sentiasa bersusah payah deminya untuk seorang wanita,” luahnya.

Dia hilang pertimbangan. Tembok kesabarannya selama ini bertahan kukuh, runtuh rebah ke tanah.

Suaminya yang selama ini disanjung, ditengking dimarahi tanpa sedar.

Setelah didesak berkali-kali, akhirnya suami meluahkan rahsia.

“Mereka sudah bertemu dan bersama sejak tujuh tahun lepas. Sue janda berhias dan mempunyai enam anak. Hubungan yang mereka ada hanyalah ‘for fun and pleasure’ (untuk keseronokan).

“Dan kerana janda berhiaslah, suami hilang minat terhadap saya dan anak-anak,” katanya.


Setelah di selidik, sudah banyak wang suami dihabiskan untuk si janda selama ini. Daripada rumah, kereta dan barang perhiasan, hinggalah keperluan anak-anak wanita itu ditanggung oleh suaminya.

“Selama ini, saya dianiaya suami sendiri. Anak-anak pula menjeruk rasa. Saya biarkan kali ini dia membuat pilihannya. Jika Sue kemahuannya, Sue lah yang saya berikan kepadanya.

“Saya dan anak-anak rela undur diri demi kebahagiaan suami, ayah mereka,” ucapnya.

Sumber: Sinar Harian


No comments