Terkini

Kanak-kanak Sempat Keluar Dari Kereta Ibu Yang Dicuri

Ipoh – Seorang kanak-kanak perempuan bernasib baik apabila sempat keluar dari kereta ibunya yang dilarikan seorang lelaki di hadapan sebuah pusat asuhan di Taman Meru Perdana, di sini, petang semalam.


Kanak-kanak Sempat Keluar Dari Kereta Ibu Yang Dicuri
Lelaki yang cuba mengejar suspek cedera selepas jatuh motorsikal akibat dihimpit.
Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, ibu mangsa berusia 38 tahun dikatakan ke pusat asuhan itu untuk mengambil anak bongsunya, manakala anak sulungnya itu yang berusia sembilan tahun ditinggalkan di bahagian tempat duduk belakang keretanya.


Sumber berkata, ibu kanak-kanak itu meninggalkan kereta berkenaan dalam keadaan enjin tidak dimatikan.

“Ketika wanita berkenaan pergi mengambil anak bongsunya, tiba-tiba anak sulung berlari ke arahnya yang berada di hadapan pintu pusat asuhan berkenaan iaitu kira-kira 40 meter dari lokasi kereta diletakkan.

“Anak sulungnya itu menjerit mengatakan ada orang masuk ke dalam kereta dan terus membawa lari kereta itu,” katanya.

Sumber itu berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian kira-kira RM82,000 apabila keretanya dilarikan.

Katanya, seorang penduduk taman berkenaan yang menyaksikan kejadian itu turut cedera apabila terjatuh daripada motosikal akibat dihimpit suspek ketika mangsa cuba mengejar suspek.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut. – BH Online



No comments