Terkini

Keadaan Ustaz Kazim Elias Stabil, Mungkin Dibenar Pulang Esok

Pendakwah Datuk Mohd Kazim Elias dilaporkan stabil selepas menjalani rawatan prosedur angiogram di makmal kardiologi invasif Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, hari ini.


Keadaan Ustaz Kazim Elias Stabil, Mungkin Dibenar Pulang Esok
Pembuluh darah arteri jantung Datuk Mohd Kazim Elias kembali berfungsi seperti biasa selepas menjalani rawatan yang diketuai pakar kardiologi, Prof Datuk Dr Zulkurnain Yusof di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, kata Pegawai khasnya, Rafi Rahman. – Gambar dari Facebook, 21 Februari, 2016.
Pegawai khasnya, Rafi Rahman berkata pembuluh darah arteri jantung Kazim, 44, kembali berfungsi seperti biasa selepas menjalani rawatan yang diketuai pakar kardiologi, Prof Datuk Dr Zulkurnain Yusof.


"Syukur kerana rawatan pada pukul 9 pagi tadi berjalan lancar dan kini beliau (Kazim) sedang berehat dan menerima rawatan susulan di unit separa kecemasan," katanya kepada pemberita di Kota Baru, hari ini.

Rafi berkata pendakwah itu mungkin akan dibawa pulang ke Ipoh, Perak esok jika keadaannya bertambah baik dan mendapat kebenaran daripada pihak HUSM.
Beliau berkata keadaan kesihatan Kazim terjejas berkemungkinan disebabkan jadual ceramahnya yang padat setiap hari di seluruh negara.

Jadual ceramah selepas ini mungkin akan diselaras semula bagi memberi ruang kepada pendakwah itu memperuntukkan sedikit masa menjaga kesihatannya, katanya.

Kazim dimasukkan ke HUSM selepas mengadu penat dan sakit dada ketika sedang berceramah di perkarangan bangunan Pertubuhan Peladang Kawasan Sri Gunong, Bator, Bachok, 9.30 malam Jumaat lepas. – Bernama, 21 Februari, 2016.



No comments