Terkini

Kereta Terbakar, Tiga Termasuk Wanita Terselamat

Sungai Buloh – Tiga warga Thailand, termasuk seorang wanita terselamat apabila kereta dinaiki terbakar selepas terbabit dalam kemalangan berhampiran Merbau Sempak, di sini, awal pagi tadi.


Kereta Terbakar, Tiga Termasuk Wanita Terselamat

Sebelum itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) PERODUA Alza itu dikatakan hilang kawalan ketika melalui jalan berkenaan jam 4.15 pagi, lalu terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Akibat rempuhan kuat itu, kereta berkenaan terbakar dan ketiga-tiga mangsa berjaya dikeluarkan orang awam yang melihat kejadian.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata lima anggota bersama satu jentera dari Balai Sungai Buloh, diketuai Komandan Operasi Samuji Jais bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 4.28 pagi.

“Ketika tiba, api sudah pun marak membakar keseluruhan kereta itu namun berjaya dikawal dalam tempoh 10 minit.

“Dua mangsa, seorang lelaki dalam lingkungan 30-an dan wanita lingkungan 20-an cedera dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

“Seorang lagi mangsa lelaki tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, di sini pagi ini. – BH Online



No comments