Kompaun Cermin Gelap Bukan RM2000 - JPJ

KANGAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini menafikan kenyataan dilaporkan media pada Khamis lepas (18 Februari) berkaitan denda RM2,000 yang akan dikenakan bagi kesalahan penggunaan cermin gelap melebihi had.


Kompaun Cermin Gelap Bukan RM2000 - JPJ
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Ismail Ahmad berkata sebaliknya kompaun maksimum yang dikenakan oleh JPJ bagi kesalahan berkenaan adalah sebanyak RM300.

Katanya, JPJ menerima maklum balas negatif daripada orang ramai yang tidak berpuas hati kerana pihaknya akan mengenakan denda yang begitu tinggi dan mahu mengaut keuntungan.

“Saya ingin tegaskan bahawa terdapat kekeliruan pemahaman dan laporan oleh media (The Sun) tentang perkara ini yang turut memetik kenyataan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

BACA: Hukuman Denda RM2 Ribu dan 6 Bulan Penjara Untuk Pesalah ‘Tinted Gelap’

“Denda sehingga RM2,000 atau enam bulan penjara seperti yang dilaporkan itu adalah bagi undang-undang mahkamah terhadap pemilik atau pemandu kenderaan yang tidak mematuhi peraturan trafik bagi kesalahan pertama,” katanya kepada pemberita pada Program Jom JPJ Negeri Perlis 2016 di pasar raya di sini.

Ismail berkata JPJ bertoleransi dalam mengenakan kompaun bagi kesalahan penggunaan cermin gelap dan pemanduan melebihi had laju serta mempertimbangkan kadar perbezaan sebanyak 10 peratus bagi setiap had yang ditetapkan.


“Misalnya untuk penggunaan cermin gelap, ditetapkan kadar ketelusan cahaya nampak (VLT) untuk cermin sisi dan belakang ialah sebanyak 30 peratus, tetapi jika pemilik kereta menggunakannya pada kadar melebihi 35 sehingga 40 peratus kompaun masih tidak dikenakan.

“Begitu juga dengan kadar had laju, jika ditetapkan 110km/j tetapi pemanduan dilakukan antara 115km/j dan 120km/j masih belum dikenakan saman,” katanya.

Ismail berkata justeru orang ramai yang mempunyai masalah atau kekeliruan berkaitan penguatkuasaan peraturan oleh JPJ boleh mendapatkan penjelasan di mana-mana kaunter JPJ.


“Sebab itu kita adakan program Jom JPJ ini di seluruh negeri. Kita buat di kawasan tumpuan orang ramai untuk memberi perkhidmatan bagi membantu orang ramai mudah menyelesaikan apa-apa masalah berkaitan JPJ,” katanya, lapor Bernama.

Jom JPJ turut memberi kemudahan kepada orang ramai untuk berurusan dengan lain-lain agensi seperti Jabatan Kesihatan, Pos Malaysia dan Tabung Haji kerana dijalankan melalui strategi lautan biru kebangsaan (NBOS) bagi mempertingkat tahap perkhidmatan kepada masyarakat.


No comments