Mayat, tengkorak ditemui dalam plastik hitam di Putrajaya

Mayat lelaki dalam keadaan terikat dan kepala hanya tinggal tengkorak ditemui dalam bungkusan plastik hitam yang dibuang ke dalam parit berhampiran Lebuhraya Persiaran Utara di Presint 7 di sini pada Jumaat.


Mayat, tengkorak ditemui dalam plastik hitam di Putrajaya

Mayat itu ditemui seorang kontraktor TM yang sedang membuat pemeriksaan bagi mendapatkan laluan kabel pada kira-kira pukul 10 pagi di kawasan berkenaan, sebelum melaporkan penemuan berkenaan kepada polis.


Ketua Polis Putrajaya ACP Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat berkenaan.

Beliau berkata pengadu yang berada di kawasan semak berhampiran lebuh raya itu terhidu bau busuk dan mencari arah datangnya bau berkenaan sehingga menemui bungkusan plastik hitam yang mencurigakan.

Rosly berkata identiti mangsa masih tidak dapat dipastikan memandangkan keadaan kepala mayat yang hanya tinggal tengkorak selain tidak terdapat dokumen atau barang berkaitan mangsa ditemui di situ.

“Mayat dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat dan hasil pemeriksaan forensik mendapati mangsa adalah seorang lelaki dewasa.

“Ketika dijumpai, mangsa hanya memakai seluar pendek tanpa baju, berkedudukan bersila dan diikat dengan tali nilon terus ke leher,” katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber : Awani



No comments