'Miss Nora' disyaki tawar khidmat seks di hotel ditahan di Melaka

Seorang wanita berusia 33 tahun disyaki menawarkan khidmat seks di hotel bertaraf empat dan lima bintang di beberapa negeri seluruh negara ditahan di hotel di Melaka Raya, Sabtu lepas.


'Miss Nora' disyaki tawar khidmat seks di hotel ditahan di Melaka

Ketua Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Rahimin Bani berkata wanita itu, yang menggunakan nama samaran 'Miss Nora', disyaki menawarkan aktiviti tidak bermoral menerusi media sosial dengan meminta pelanggan membuat bayaran deposit sebelum 'menempah' perkhidmatan itu.


Beliau berkata wanita yang masih berstatus isteri itu berasal dari Pulau Pinang, ditahan menerusi serbuan anggota penguatkuasa JAIM hasil aduan orang awam, kira-kira jam 10.55 malam di bilik hotel berkenaan.

"Hasil pemeriksaan di bilik tersebut kami menemui sebotol pelincir, 14 kondom termasuk satu telah digunakan, wang tunai lebih RM6,000 dipercayai hasil aktiviti pelacuran yang dilakukannya, dua telefon bimbit serta sebuah laptop," katanya kepada pemberita di Melaka hari ini.

Rahimin berkata sebuah buku log yang dipercayai mencatatkan jadual perkhidmatan seks di setiap negeri yang ditawarkan wanita itu turut ditemui di bilik hotel tersebut.

Beliau percaya wanita itu bergerak ke setiap negeri secara bersendirian dengan menaiki bas.

Katanya wanita itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 75 Enakmen Kesalahan Syariah Melaka 1991 kerana melacurkan diri dan boleh didenda RM2,000 atau penjara dua tahun sekiranya disabitkan kesalahan. - Bernama



No comments