Terkini


Mufti, ketua biskop adakan pertemuan bersejarah di Masjid Negara

Selepas pertemuan “bersejarah” pada Januari antara 2 pemimpin tinggi Islam dan Kristian, kumpulan daripada kedua-dua agama mengadakan 1 diskusi di Masjid Negara awal bulan ini, membincangkan tentang puasa, sembahyang dan sedekah, dengan menjanjikan lebih banyak perkongsian maklumat.


Mufti, ketua biskop adakan pertemuan bersejarah di Masjid Negara

Sesi ini diilhamkan Gereja Katolik Archdiocesan Single Adults and Youth Office (Asayo), mengambil petunjuk daripada ketua gereja, Ketua Biskop Julian Leow, yang mengadakan kunjungan hormat ke atas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, di mana kedua-dua pemimpin agama itu bercakap mengenai pelbagai isu termasuk toleransi dan saling menghormati antara agama.


Ahli Asayo Christopher Francis berkata, beliau kagum dengan sambutan yang mereka terima di masjid daripada imam Masjid Jamek, Mohd Faisal Tan Mutalib, dan ahli-ahli Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

"Ia agak luar biasa, mereka benar-benar gembira melihat kita dan ia adalah suatu perasaan yang sangat menakjubkan.
"Mereka merupakan orang yang hebat, yang bukan saja berbincang dengan kita, mereka beri kita makan dan membenarkan kita memerhatikan mereka sembahyang Isyak," katanya.

Christopher berkata, ahli beragama Islam juga mahu tahu bagaimana penganut Kristian menjalani ibadah puasa Lent dan seterusnya menjelaskan peranaan zakat dan siapa yang mendapat manfaat daripadanya .

"Mereka juga memberitahu kami bagaimana Jesus merupakan seorang nabi kepada mereka seperti yang dinyatakan dalam al-Quran.

"Mereka menanya kami tentang Roh Kudus dan Paderi Gregory menjelaskan bahagian itu kepada mereka," kata Christopher merujuk kepada Paderi Gregory Chan, pembantu gereja untuk Asayo dan paderi yang bermastautin di Gereja Holy Family di Kajang.

Sementara Chan memberitahu The Malaysian Insider, lawatan ini adalah sangat memuaskan dan merupakan peluang untuk berkongsi perkara tentang persamaan yang terdapat dalam kedua-dua agama.

Beliau menambah, lawatan ke masjid dan tempat ibadat lain semasa tempoh puasa Lent merupakan sebahagian daripada inisiatif gereja untuk mendekati orang lain, termasuk mereka yang beragma lain.

Beliau juga berkata, mereka mempunyai peluang untuk menerangkan makna puasa, sembahyang dan kebajikan untuk Katolik serta diberi taklimat tentang zakat, puasa dan Ramadan - bulan berpuasa bagi Muslim.

"Ia merupakan sesi dialog yang sangat memuaskan dan kami dilayan dengan baik.

"Adalah sangat penting untuk mengadakan dialog ini dan duduk berbincang tentang perkara yang menyatukan kita," katanya.

Naib Presiden Abim Ahmad Fahmi Mohd Samsudin turut memuji lawatan belia Katolik dan berkata, mereka bersedia membuat lawatan balas.

"Ia adalah 1 sesi dialog yang diadakan dalam suasana harmoni di mana pengikut kedua-dua agama berminat untuk mengetahui persamaan kita.

"Sebagai sebahagian daripada masyarakat sivil, adalah penting untuk kita membina persahabatan seperti ini, walau apa pun yang berlaku dalam politik," kata Ahmad Fahmi.

Normah Sulaiman, pemandu pelancong masjid Islamic Outreach Abim juga menyifatkan lawatan itu sebagai bersejarah, mengatakan pada masa lalu, kumpulan penganut agama lain melawat masjid tetapi tiada sebarang sesi dialog.


Sesi seperti itu, menurut beliau merupakan asas untuk hidup dengan aman dan damai dalam masyarakat berbilang kaum dan ia perlu digalakkan.
Christopher berkata, Asayo turut melawat Pusat Sai Baba di Bangsar, Kuil Buddha Sri Lanka dan Gereja Ortodoks Syria di Brickfields pada hujung minggu selepas lawatan mereka ke masjid.

"Datuk Jegathesan dari Pusat Sai Baba menyediakan makan tengah hari untuk kami," kata Christopher.
Datuk J.Jegathesan merupakan pengasas Kumpulan Persahabatan Perkhidmatan Religious Inter atau FGIS, yang secara aktif mempromosikan setiakawan antara agama, termasuk lawatan kumpulan ke tempat ibadat. –TMI


No comments