Pakar HUSM Sahkan Ustaz Kazim Mempunyai Masalah Jantung

KOTA BHARU – Pakar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini mengesahkan pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias mengalami masalah jantung namun masih pada peringkat awal.


Pakar HUSM Sahkan Ustaz Kazim Mempunyai Masalah Jantung

Pakar Perunding Kardiologi HUSM, Prof. Datuk Dr. Zulkarnain Yusof memberitahu, ekoran daripada itu, Mohd. Kazim perlu me­lakukan rawatan susulan.

“Sepanjang tiga hari berada di HUSM, beliau (Mohd. Kazim) telah diberikan rawatan sepatutnya termasuk menjalani prosedur angiogram koronari semalam. Dalam rawatan itu, kita mengenal pasti saluran darah di bahagian jantung beliau tersumbat.


“Bagaimanapun kita telah me­lakukan proses melebarkan saluran yang tersumbat itu bagi membolehkan darah kembali berjalan dengan lancar. Beliau hanya perlu berehat secukupnya dalam tempoh terdekat ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selepas tiga hari dirawat di wad Unit Rawatan Jantung (CCU) HUSM, Mohd. Kazim hari ini dibenarkan keluar daripada hospital.

Mohd. Kazim yang ditemani abangnya, Datuk Mohamad Naj­muddin Elias serta ahli keluarga yang lain seterusnya bertolak pulang ke rumah beliau di Manjoi, Perak.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Mohd. Kazim terpaksa dikejarkan ke HUSM kerana disyaki mendapat serangan jantung.

Ketika itu, beliau berada di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sri Gunong, Bachok untuk menjayakan ceramah anjuran Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).


Tambah Zulkarnain, keadaan Mohd. Kazim pada masa ini bertambah baik dan masih berada dalam proses pemulihan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tempoh enam minggu rehat yang diberikan kepada Mohd. Kazim, beliau berkata, tempoh tersebut cukup bagi beliau kembali pulih seterusnya boleh meneruskan tugas seperti biasa.

“Bagi masalah serangan jantung ringan seperti yang dialami Mohd. Kazim, enam minggu adalah tempoh yang cukup untuk berehat,” katanya. - Utusan


No comments