Terkini

Pandangan panel penilaian SPRM bukan cabar kuasa peguam negara, kata SPRM

Saranan Panel Penilaian Operasi (PPO) untuk mengemukakan semula kertas siasatan SRC International Sdn Bhd dan mengumpul bukti dari luar negara berhubung wang RM2.6 bilion yang terdapat dalam akaun peribadi perdana menteri tidak boleh dianggap sebagai mencabar kuasa peguam negara, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Tan Sri Abu Kassim Mohamed

"Saya ingin menegaskan, kuasa pendakwaan terletak pada peguam negara mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan," kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed dalam satu kenyataan petang ini.

Semalam, PPO lapan anggota yang bermesyuarat buat kali terakhir menasihatkan badan anti-rasuah itu menghantar semula kertas siasatan berhubung SRC International Sdn Bhd kepada Peguam Negara Tan Mohamed Apandi Ali, yang juga pendakwa raya, untuk semakan beliau.


Panel itu, yang memuji SPRM kerana profesionalisme, dedikasi dan integritinya, juga mencadangkan kepada penyiasat meminta bantuan Peguam Negara mengeluarkan bantuan undang-undang bersama bagi membolehkan SPRM mendapatkan bukti dan dokumen daripada institusi kewangan di luar negara dalam siasatan mereka ke atas derma RM2.6 bilion itu.

Pada 26 Januari lalu, Apandi berkata tidak terdapat bukti mencukupi mendakwa Datuk Seri Najib Razak berhubung kes SRC International, sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan.

Syarikat itu dilaporkan sebagai salah satu firma dari mana derma itu berasal sebelum disalurkan melalui syarikat lain dan dimasukkan ke akaun peribadi Najib.

Apandi juga berkata, tiada bukti Najib selaku menteri kewangan menyalahgunakan kuasanya berhubung pinjaman diambil SRC International daripada dana pencen, KWAP.

Beliau juga menjelaskan tiada keperluan meneruskan dengan permintaan mendapatkan bantuan perundangan bersama daripada pihak berkuasa kewangan luar negara dan bank untuk SPRM menyelesaikan siasatan terhadap kes RM2.6 bilion kerana tiada bukti mencukupi.

SPRM sebelum ini merakamkan percakapan daripada lebih 100 saksi, termasuk Najib berhubung isu derma tersebut.

Agensi itu membuka siasatan itu susulan laporan The Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report pada Julai tahun lalu, yang mendakwa daripada jumlah RM2.6 bilion itu, RM42 juta berasal daripada SRC International, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pindahan besar berjumlah AS$681 juta juga dipindahkan ke akaun Najib, berasal dari Syarikat British Virgin Islands dan melalui Falcon Private Bank di Singapura.

Apandi berkata, AS$620 juta dikembalikan Najib kepada penderma Arab Saudi kerana ianya tidak digunakan.

Dalam perkembangan berkaitan, Abu Kassim berkata, PPO dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM tidak akan dibubarkan, menafikan beberapa laporan media.


"Kerajaan kini dalam proses membuat pelantikan untuk kedua-dua panel bagi penggal baru," katanya.

Kedua-dua jawatankuasa dilantik secara pentadbiran oleh perdana menteri untuk membantu SPRM dalam menjalankan tugasnya sejak 2009.

Tiga lagi, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dan Jawatankuasa Aduan, adalah panel yang ditubuhkan mengikut undang-undang seperti yang dikehendaki di bawah Akta SPRM 2009. – TheMalaysianInsider 25 Februari, 2016.


No comments