Panel Pemantau SPRM Bertemu Kali Terakhir Hari Ini, Gesa Najib DIDAKWA

Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertemu untuk kali terakhir hari ini, masih berkeras supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak didakwa atas skandal kewangannya, kata sumber.


Panel pemantau SPRM bertemu kali terakhir hari ini, gesa Najib didakwa

Spekulasi hangat timbul ia mungkin dibubarkan selepas tempoh setahun panel yang terdiri daripada kumpulan 8 individu dipengerusikan bekas setiausaha kerajaan negeri Sarawak, Tan Sri Dr Hamid Bugo berakhir hari ini, selepas mereka tidak menerima surat lanjutan perkhidmatan.

Ahli lain panel itu ialah Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan, Datuk Zamani Abdul Ghani, Datuk Azizah Arshad, Datuk Wan Abdul Wahab Abdullah, Profesor Dr Normah Omar, Dr Sundramoorthy M Pathmanathan dan Lim Chee Wee.


Jawatankuasa ini menggesa siasatan skandal kewangan perdana menteri dibuka semula, selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengarahkan kes itu ditutup bulan lepas.
Panel Penilaian Operasi (PPO) merupakan salah satu daripada 5 jawatankuasa pengawasan yang dibentuk berikutan penjenamaan semula SPRM pada 2009.

Terma rujukan PPO antara lain ialah untuk mengemukakan pandangan mengenai kes di mana tiada pendakwaan terhadap tertuduh daripada pendakwa raya.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider panel ini juga kritikal apabila Apandi enggan melakukan pendakwaan terhadap Najib berhubung SRC Internatonal Sdn Bhd milik Kementerian Kewangan kerana "tiada bukti mencukupi".

Mereka juga bimbang apabila Apandi yang juga pendakwa raya, enggan membantu penyiasat SPRM mendapatkan dokumen dan kenyataan dari luar negara sebagai sebahagian daripada siasatan, di bawah inisiatif bantuan undang-undang bersama (MLA), berkenaan lebih RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Apandi yang dilantik pada Julai lalu, juga mengarahkan SPRM untuk menutup fail 3 kertas siasatan tetapi bekas peguam negara Tan Sri Abu Talib Othman berkata, beliau tidak mempunyai kuasa tersebut.

"Insya-Allah. Kami turut percaya Najib patut dikenakan tindakan atas kesalahan yang didakwa," kata seorang ahli panel dengan syarat namanya tidak disiarkan.

Ahli panel itu berkata, pegawai SPRM memberikan taklimat kepada mereka dan siasatan teliti dijalankan walaupun berdepan pelbagai cabaran dan halangan.

Di samping itu, sumber berkata, Panel Khas SPRM yang terdiri daripada 5 orang, 3 jawatankuasa pengawasan, ditubuhkan untuk menasihati penyiasat berkenaan 2 kes, SRC dan derma politik RM2.6 bilion.

Grafik Panel Pengawasan SPRM ( The Malaysian Insider)
PPO hanya badan pentadbiran dan pelantikan ahli dibuat perdana menteri. Mereka merupakan pakar mewakili profesion berkaitan dan mewakili kualiti integriti dan kebebasan SPRM.

Sumber berkata, PPO boleh dibubarkan sebagaimana kewujudannya, seperti Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah kerana tidak diperuntukkan di bawah Akta SPRM 2009.

Panel lain yang ditubuhkan secara sah ialah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah dan Jawatankuasa Aduan.

Pada 26 Januari, Apandi berkata tidak terdapat "bukti mencukupi" untuk mendakwa Najib berkenaan derma RM2.6 bilion dan SRC International.



Dua hari kemudian PPO dan Panel Khas mengeluarkan kenyataan walaupun mereka mengambil kira keputusan Apandi, mereka masih menasihatkan SPRM berunding dengan peguam negara.

Satu mesyuarat sepatutnya diadakan minggu lalu antara peguam negara dan 3 jawatankuasa pengawasan berhubung kedua-dua kes tetapi ia dibatalkan Jabatan Peguam Negara pada saat-saat akhir tanpa sebarang alasan.

Bekas menteri Kabinet, Datuk Zaid Ibrahim dan bekas pemimpin Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar keengganan Apandi untuk mendakwa Najib. – TheMalaysianInsider 24 Februari, 2016.


No comments