Terkini

Pasukan Penyelamat Nepal Temui Bangkai Pesawat Tara Air

KATHMANDU: Pasukan penyelamat pada Rabu menemui bangkai pesawat yang membawa 23 penumpang dan anak kapal yang hilang di kawasan pergunungan di Nepal, kata Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Penerbangan Awam, Aananda Prasad Pokharel.


Tara Air Crash

Kata beliau, pesawat jenis Twin Otter ditemui di daerah barat Myagdi dengan mayat-mayat yang bergelimpangan di kawasan itu.

"Bangkai pesawat itu ditemui dalam keadaan terbakar di Solighopte di daerah Myagdi.

"Pasukan itu ada mengatakan bahawa mayat bergelimpangan dan ia proses mengenal pasti mayat tidak boleh dilakukan sekarang.


"Lebih banyak agensi keselamatan juga sedang digerakkan dan kami sedang mencuba untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya.

Pihak polis Nepal juga mengesahkan bahawa semua penumpang dan anak kapal terkorban dalam insiden berkenaan.

Tentera telah mengerahkan sebuah helikopter dan satu pasukan yang akan berjalan kaki untuk ke Myagdi, sebuah daerah pergunungan sekitar 220 kilometer (160 batu) barat Kathmandu, selepas penduduk tempatan melaporkan melihat bangkai yang berkemungkinan pesawat Tara Air.

Syarikat penerbangan itu berkata pesawat itu membawa tiga anak kapal dan 20 penumpang - seorang warga China dan seorang warga Kuwait, manakala penumpang yang lain adalah warga Nepal dan dua adalah kanak-kanak.

Angka awal sebelum ini adalah 18 penumpang.

Tara Air berkata pesawat Twin Otter telah terputus hubungan dengan kawalan trafik udara lapan minit selepas berlepas dari bandar pelancongan Pokhara pada awal Rabu.

Perjalanan sepatutnya mengambil masa lebih kurang 20 minit.


Satu kenyataan di laman web mereka berkata keadaan cuaca baik ketika pesawat berlepas ke Jomsom, sebuah destinasi pendali gunung popular di Himalaya.

"Keadaan cuaca di kedua-dua lapangan terbang adalah baik dan mendapat kelulusan untuk berlepas oleh menara kawalan di Pokhara,” kata kenyataan itu.

Tara Air adalah anak syarikat Yeti Airlines, syarikat penerbangan domestik milik persendirian yang ditubuhkan pada tahun 1998 yang memberikan perkhidmatan ke banyak destinasi jauh di seluruh Nepal.

- AstroAwani


No comments