Terkini

Paus Terdampar Di Pantai Rambah Berkemungkinan Akibat Cedera - Pakar

KUANTAN: Ikan paus yang ditemui terdampar di tepi pantai Taman Rekreasi Pantai Rambah, dekat Pontian, Isnin lalu berkemungkinan tercedera, menyebabkan haiwan itu terpisah daripada kumpulannya.


Ikan paus Pantai Rambah, Pontian

Menyatakan demikian hari ini, Dekan Fakulti Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, "Paus berkenaan mungkin telah terkena kapal ataupun kipas kapal menyebabkan ia tercedera sehingga menjejas sistem navigasinya.


"Ini menyebabkan haiwan itu tersesat berhampiran Pontian.

"Tetapi agak melucukan apabila ada pihak sebelum ini mengaitkan gangguan emosi sebagai antara punca kematian haiwan mamalia itu.

"Ini kerana bedah siasat sendiri mendapati ia mati disebabkan lumpur yang memenuhi peparunya," katanya kepada Bernama, pada Ahad.

Ikan paus Pantai Rambah, Pontian


Sebelum ini, Ketua Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasaan Malaysia (APMM), Pangkalan Maritim Batu Pahat, Lt Komander Maritim Muhammad Zulkifli Abdullah berkata paus terbabit dianggar berenang sejauh 90 batu nautika dari Pontian, sebelum terdampar di muara Sungai Sarang Buaya.

"Paus itu masih hidup ketika ditemui nelayan dan kemudian didapati mati selepas tersangkut di dalam mendapan lumpur, kira-kira dua jam kemudian," katanya.

Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan (FRI), Rantau Abang, Terengganu, Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata paus berukuran 12 meter panjang dan seberat 15 tan itu merupakan spesies terancam yang disenaraikan Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) - Bernama



No comments