Terkini

Pekebun Cat Pisang Warna Hitam Elak Dicuri

ALOR GAJAH: Pekebun pisang mengambil inisiatif sendiri bagi mengatasi masalah kecurian pisang di kebun mereka dengan menyembur cat hitam.



Abdullah berkata Mahad, 46, dia menggunakan teknik mudah itu ketika menguruskan pisang tanduk diusahakan di kebun seluas 1.4 hektar di Kampung Ayer Hitam Darat, Masjid Tanah.


Menurutnya, selepas menyembur cat hitam pada pisang, sedikit sebanyak berjaya mengelakkan pisang helang bernilai RM4 sekilogram (kg) dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya mengeluarkan kos agak tinggi untuk menanam dan membaja selain terpaksa tunggu lapan bulan untuk menikmati hasil tetapi pencuri hanya mengambil 10 minit untuk mengaut hasil.

“Sejak mengusahakan kebun pisang 10 tahun lalu, banyak kali tanaman saya menjadi mangsa pencuri. Sejak beberapa bulan lalu, saya menyembur cat hitam pada pisang yang dua minggu lagi akan ditebang bagi mengelak ia dicuri dan kalau hilang pun, saya boleh mengecamnya,” katanya.


Selepas menggunakan teknik itu, dia turut menjalin kerjasama dengan pembeli pisang di sekitar Masjid Tanah, Kuala Sungai Baru dan Kuala Linggi.

“Saya meminta mereka supaya tidak membeli pisang helang yang ada cat hitam daripada orang lain selain saya.

“Saya pernah terjumpa pisang saya digoreng seorang peniaga di satu tempat di Kuala Linggi. Apabila saya tanya, dia kata ada orang jual kepadanya.

“Saya minta dia jangan beli pisang itu daripada orang lain selain saya pada masa depan kerana ia pisang saya yang dicuri,” katanya.

- Harian Metro



No comments