Terkini


Pelajar Tingkatan Satu Cedera Muka Akibat Ditumbuk Dan Disepak

DUNGUN – Seorang pelajar lelaki cedera di bahagian muka selepas ditumbuk dan disepak beberapa pelajar lain dalam kejadian di sebuah sekolah menengah, di sini, Isnin lalu.


Pelajar Tingkatan Satu Cedera Muka Akibat Ditumbuk Dan Disepak

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 pagi, mangsa yang merupakan pelajar tingkatan satu berada di dalam kelas dikatakan telah didatangi seorang pelajar lain yang menyuruhnya keluar hingga ke tepi tangga tingkat tiga sekolah tersebut.


Setelah sampai di lokasi berkenaan, sekumpulan pelajar lelaki telah menunggu dan seorang daripada mereka telah mengheret dan menumbuk muka pengadu sehingga mangsa terjatuh.

Suspek didakwa telah menyepak di bahagian muka mangsa yang berasal dari Paka itu hingga mengalami pendarahan teruk di bibir dan menerima tujuh jahitan di bibir, patah sebatang gigi, bengkak di bahagian muka selain sakit di beberapa bahagian badan yang lain.

Selepas insiden berkenaan, mangsa telah berjumpa dengan seorang guru dan menceritakan kejadian itu sebelum memaklumkan kepada guru disiplin serta mendapat rawatan di Klinik Kesihatan berdekatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya suspek telah ditangkap pada hari yang sama dan siasatan lanjut bagi mengetahui punca kejadian sedang dijalankan. – BERNAMA



No comments