Pembekuan pekerja Putrajaya karut, pegawai Bangladesh beritahu Dhaka Tribune

Langkah Putrajaya membekukan pengambilan pekerja asing, termasuk 1.5 juta dari Bangladesh, diragui pegawai negara itu, lapor Dhaka Tribune.


Pembekuan pekerja Putrajaya karut, pegawai Bangladesh beritahu Dhaka Tribune
Pembekuan pekerja Putrajaya karut, pegawai Bangladesh beritahu Dhaka Tribune
Memetik pemangku setiausaha Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh Begum Shamsun Nahar, beliau percaya, kerajaan Malaysia masih akan mengambil pekerja dari Bangladesh seperti dipersetujui dalam memorandum persefahaman yang ditandatangani 18 Februari lalu.

Memorandum itu dimeterai hanya sehari sebelum Putrajaya mengumumkan ia menangguhkan pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber.


"Kerajaan Malaysia membuat pengumuman itu untuk menenangkan kumpulan pendesak tempatan yang menentang pengambilan pekerja asing," Begum Shamsun dipetik berkata.

BACA: AKHIRNYA.. Putrajaya beku kemasukan semua pekerja asing, termasuk Bangladesh

Dhaka Tribune juga berkata, beliau menyifatkan pengumuman Putrajaya itu "mengarut".

Menurut laporan itu, Bangladesh masih belum menerima sebarang kenyataan rasmi berhubung tindakan pembekuan Putrajaya itu.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Putrajaya menangguhkan pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber, termasuk Bangladesh.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas kerajaan Malaysia dan Bangladesh menandatangani memorandum persefahaman membawa masuk 1.5 juta pekerja dari negara Asia Selatan itu dalam tempoh 3 tahun akan datang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, penggantungan itu dibuat supaya Putrajaya boleh menilai semula status pekerja asing sedia ada di negara ini.

Beliau berkata perjanjian yang ditandatangani dengan Dhaka akan tamat tempoh dalam masa 3 tahun dan Malaysia tidak perlu melaksanakannya dengan segera.


Pertubuhan tempatan mengkritik rancangan membawa masuk lebih ramai pekerja asing sedangkan sebilangan besar di negara ini adalah pekerja tanpa izin, manakala majikan bimbang kesan pembekuan ke atas perniagaan mereka.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia N Gopal Kishnam menyambut baik langkah menangguhkan pengambilan pekerja asing, tetapi masih mahu sebuah suruhanjaya diraja dibentuk bagi mengenai keperluan pekerja asing di negara ini.

BACA JUGA: 1.5 Juta Bangla? 139 Negara? Siapa Yang Kelentong?

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia Datuk Shamsuddin Bardan bagaimanapun berkata, beliau berharap pembekuan itu tidak akan menjejaskan pengambilan pekerja asing yang berjalan ketika ini. – 20 Februari, 2016.


No comments