Hukuman Denda RM2 Ribu dan 6 Bulan Penjara Untuk Pesalah ‘Tinted Gelap’

Pesalah ‘tinted gelap’ bakal terima hukuman denda RM2 ribu dan 6 bulan penjara. Kementerian Pengangkutan telah melakukan pindaan terbaru ke atas undang-undang cermin gelap (tinted windows).


Hukuman Denda RM2 Ribu dan 6 Bulan Penjara Untuk Pesalah ‘Tinted Gelap’

Menurut laporan Shahrim Tamrin dari The Sun, kementerian diberitakan akan menaikkan lagi saman dan hukuman ke atas pesalah cermin gelap yang melampau. Undang-Undang Kereta Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) Pindaan 2016 melihat hukuman yang lebih ketat dari undang-undang pindaan tahun 1991 yang digunapakai sebelum ini.


Undang-undang pindaan baharu ini telah pun bermula pada 6 Februari dan pesalah kali pertama akan dikenakan denda sehingga RM2,000 atau enam bulan penjara. Untuk pesalah berulang, denda boleh naik sehingga RM4,000 atau penjara selama 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.

Jumlah tersebut sangat tinggi berbanding akta terdahulu – denda RM500 atau penjara dua minggu bagi pesalah kali pertama. Untuk kesalahan berulang, denda tidak lebih RM1,000 atau sebulan penjara.

Seperti yang diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan tahun lalu, pindaan akta tersebut kini membenarkan cermin penumpang belakang dan cermin belakang yang lebih gelap – 30 peratus kemasukan cahaya berbanding 50 peratus dalam akta lama.

Cermin hadapan kekal pada 70 peratus kadar kemasukan cahaya dan 50 peratus untuk penumpang hadapan dan pemandu.

Menurut laporan tersebut lagi, pihak JPJ akan menggunakan pendekatan yang berbeza kali ini untuk mengingatkan pengguna kenderaan.

“Kami akan minta pemilik kenderaan agar faham tentang undang-undang terbaharu dan kami akan beri mereka peluang untuk menanggalkan plastik gelap pada cermin mereka’” ujar Datuk Ismail Ahmad, Ketua Pengarah JPJ.



No comments