Terkini

Rayani Air Masih Siasat punca Cermin Kokpit Pesawat Retak

ALOR SETAR: Syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara, Rayani Air akan menyiasat lanjut punca keretakan pada cermin bahagian atas kokpit pesawat sehingga menyebabkan pembatalan penerbangannya kelmarin.


Rayani Air Masih Siasat punca Cermin Kokpit Pesawat Retak
Rayani Air Masih Siasat punca Cermin Kokpit Pesawat Retak
Pengurus Besar Perhubungan Awam syarikat berkenaan, Anisah Azharuddin berkata, siasatan akan dilakukan daripada semua faktor termasuk perubahan cuaca mendadak dan sebagainya.

“Bagi mengenal pasti punca keretakan, pihak Rayani Air mengambil kira setiap kebarangkalian agar keadaan seperti ini tidak akan berulang lagi.


“Dalam menjalankan siasatan, pihak Rayani Air akan menghubungi pihak berkuasa yang berkaitan untuk membantu menyelesaikan situasi yang berlaku,” katanya di sini semalam.

Ketika ditanya sama ada wujud unsur sabotaj, kata Anisah, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang maklumat yang mengaitkannya dengan perbuatan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan tersebut, Ravi Alagendrran berkata, cermin di bahagian atas kokpit yang retak itu telah diganti dan operasi penerbangan bagi pesawat tersebut akan berjalan seperti biasa mengikut jadual ditetapkan.

Dalam pada itu, kata Ravi, pihaknya menanggung kos sebanyak RM72,000 untuk menyewa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) bagi membawa kesemua 250 penumpang yang terkandas ekoran pembatalan penerbangan, kelmarin.

“Kesemua 250 penumpang yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 sudah selamat tiba ke destinasi masing-masing pada malam semalam (kelmarin),” jelasnya.

Kosmo! semalam melaporkan lebih 200 penumpang terkandas di LTAL selepas syarikat penerbangan, Rayani Air membatalkan dua penerbangan dari Langkawi ke Kuala Lumpur ekoran keretakan pada cermin bahagian atas kokpit pesawat Boeing 737 miliknya. -Kosmo!



No comments