TUDM kaji kaedah keluarkan pesawat CN235, kata Hishammuddin

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang mengkaji kaedah untuk mengeluarkan pesawat CN235 milik pasukan itu yang mendarat cemas di perairan Kuala Selangor.


TUDM kaji kaedah keluarkan pesawat CN235, kata Hishammuddin

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pesawat itu perlu dikeluarkan dari kawasan kejadian bagi memudahkan siasatan dilakukan.

"Bila pesawat keluar dari kawasan kemalangan dan berada di tangan (TUDM), ia lebih mudah untuk kita buat siasatan, cuma sekarang lokasi (pesawat) agak kompleks dan kita serahkan pada pakar untuk menyelesaikannya," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarah keluarga Allahyarham Abu Hassan Abd Latib, 57, penduduk tempatan yang meninggal dunia akibat lemas semasa merentasi tali air untuk bergegas ke lokasi kejadian pesawat berkenaan.

Turut hadir Timbalan Panglima TUDM Leftenan Jeneral Datuk Sri Affendi Buang dan Ahli Parlimen men Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim.

Hishammuddin berkata Pasukan Lembaga Penyiasatan yang diketuai pegawai kanan TUDM berpangkat Kolonel dan dibantu 4 anggota terdiri daripada juruterbang, jurutera dan seorang doktor perubatan, akan menggalas tugas menyiasat punca sebenar insiden itu.

"Kita tunggu hasil siasatan punca pesawat itu mendarat cemas... media jangan buat sebarang spekulasi sehingga kita temui fakta sebenar berhubung kejadian ini," katanya.

Mengulas mengenai kunjungannya ke rumah keluarga Allahyarham Abu Hassan, Hishammuddin berkata pihaknya hadir untuk memberi semangat selain menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa.

Katanya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TUDM berterima kasih kepada semua pihak termasuk penduduk kampung dan pihak berkaitan yang telah menghulurkan bantuan awal bagi menyelamatkan 8 anak kapal pesawat itu.

Sementara itu, adik Abu Hassan, Razali Abd Latib, 45, menyifatkan kunjungan Hishammuddin dan pihak TUDM sebagai tanda prihatin di atas kehilangan abangnya.

"Ini pertama kali orang besar melawat keluarga saya...terima kasih atas keprihatinan Datuk Seri (Hishammuddin) yang turut memberi bantuan dari segi kewangan dan batu nisan untuk pusara arwah.

"Arwah abang saya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Assam di sini selepas solat Asar semalam," katanya.


Dalam kejadian 8.40 pagi semalam, pesawat itu yang membawa 8 anak kapal membuat pendaratan cemas setelah mengalami kerosakan enjin di pesisir pantai berhampiran Batu 2, Kuala Selangor.

Semua anak kapal dapat diselamatkan dengan bantuan nelayan tempatan di kawasan itu. – Bernama, 27 Februari, 2016.


No comments