Terkini

Yusof Haslam Dan Syamsul Menang Rebut “Bohsia”, Peroleh RM100 Ribu

KUALA LUMPUR, — Pelakon dan pengarah filem Syamsul Yusof, bapanya Datuk Yusof Haslam dan syarikat mereka memperoleh ganti rugi RM100,000 daripada penulis novel berhubung kes saman berkaitan filem “Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam”.


Yusof Haslam Dan Syamsul Menang Rebut “Bohsia”, Peroleh RM100 Ribu
Yusof Haslam Dan Syamsul Menang Rebut “Bohsia”, Peroleh RM100 Ribu
Hakim Mahkamah Tinggi Datin Azizah Nawawi membuat keputusan tersebut semalam selepas membenarkan tuntutan balas dikemukakan dua beranak itu dan syarikat Skop Production Sdn Bhd selaku defendan dalam kes saman yang difailkan Elias Idris, penulis novel “Aku Bohsia” pada 24 November 2014.

Mahkamah juga memerintahkan Elias, 64, selaku plaintif membayar kos berjumlah RM40,000 kepada ketiga-tiga defendan.


Azizah juga menolak tuntutan saman yang difailkan Elias selepas mendapati plaintif gagal membuktikan defendan melanggar hak cipta terpelihara novel “Aku Bohsia” dalam filem yang diterbitkan oleh syarikat itu pada 2009.

“Saya berpendapat bahawa bukti daripada plaintif dan defendan menunjukkan ‘bohsia’ dan ‘mat rempit’ merupakan maklumat biasa dalam masyarakat kita yang tidak boleh menjadi asas kepada perbandingan antara novel dan filem,” katanya.

“Saya juga bersetuju dengan defendan bahawa idea kehidupan bohsia dan mat rempit tidak dilindungi Akta Hakcipta 1987 dan tiada perlanggaran terhadap persamaan,” katanya dalam penghakimannya.

Beliau berkata bohsia dan mat rempit merupakan isu umum dalam masyarakat Malaysia yang tidak boleh dikatakan hanya eksklusif untuk novel plaintif.

Azizah berkata perkataan yang ditulis Elias dalam dua artikel yang dimuat naik di internet pada 7 dan 16 November 2014 berhubung filem “Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam” mempunyai kata-kata fitnah.

“Artikel itu mengatakan bahawa defendan tidak mempunyai integriti dan kelakuan yang memalukan dengan menciplak novel ke filem mereka. Ini akan mendedahkan defendan kepada penilaian masyarakat,” katanya.

Pada 24 November 2014, Elias memfailkan saman terhadap Syamsul, 32, atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Md Yusof, penerbit filem Yusof Haslam, 62, atau nama sebenarnya Md Yusof Md Aslam dan syarikat Skop Production selepas mendakwa defendan menciplak kandungan novel Elias bagi menerbitkan filem “Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam”.

Menerusi pernyataan tuntutannya, Elias mendakwa beliau menulis novel itu pada 1995 menggunakan nama pena Anne Natasha Nita serta merupakan pemilik hak cipta terpelihara karya itu.

Sehubungan itu, beliau menuntut satu deklarasi bahawa kesemua defendan telah melanggar hak cipta terpelihara plaintif sebagai penulis asal selain memohon perintah injunksi untuk melarang defendan menyiarkan semula filem itu dan memohon perintah ganti rugi serta faedah.

Dalam tuntutan balas defendan terhadap plaintif, ketiga-tiga defendan mendakwa bahawa plaintif telah menulis kata-kata fitnah di laman blog miliknya pada 16 November 2014 dan mendakwa perkataan fitnah itu ditulis untuk memalukan serta menjatuhkan nama serta reputasi defendan dalam industri filem.

Sementara itu, Yusof ketika ditemui pemberita sejurus selesai prosiding berkata keputusan mahkamah hari ini dapat membersihkan nama dan reputasi Skop Production dan nama Syamsul yang dituduh menciplak ketika menulis skrip dalam filem tersebut.

“Saya bersyukur kerana segala tohmahan yang mengatakan Syamsul mencuri 80 peratus idea daripada novel selesai dan kebenaran telah terjawab selepas mahkamah membuktikan bahawa dakwaan itu tidak benar dan hanya ciptaan semata-mata,” katanya.

Yusof, yang berpengalaman selama 31 tahun sebagai pengarah filem, turut menasihatkan orang awam supaya mengambil pengajaran daripada kes ini dan tidak mudah mengambil kesempatan.

“Saya cuba selesaikan kes ini di luar mahkamah untuk plaintif menarik balik saman tetapi dia tidak mahu. Kami tidak takut kerana kami tidak bersalah,” kata pengarah drama bersiri “Gerak Khas” sambil menegaskan anak lelakinya itu tidak menciplak idea, sebaliknya menggunakan ideanya sendiri untuk menghasilkan filem.

Sementara itu, Syamsul yang telah menjadi pengarah filem selama 12 tahun melahirkan rasa syukur kerana namanya telah dibersihkan.

“Syukur alhamdulillah, pihak mahkamah telah membuat keputusan dan kebenaran terserlah,” katanya yang turut memaklumkan pratonton filem terbaharu arahannya bertajuk “Munafik” akan ditayangkan pada 18 Februari ini.

Plaintif diwakili peguam K Periasamy manakala kesemua defendan diwakili peguam Aizul Rohan Anuar dan Saiful Dzulhelmi Zulkifli.

Seramai empat orang saksi termasuk plaintif memberi keterangan dalam perbicaraan selama dua hari bermula 19 Okt tahun lepas manakala hanya Syamsul memberi keterangan bagi pihak defendan. — Bernama



No comments