Terkini

‘Aku dah nak balik’, perbualan terakhir mangsa kemalangan maut

Rompin – ‘Aku nak balik ni.. dalam perjalanan. Kalau tak ada apa-apa, pukul 2 aku sampai,’. Itu perbualan terakhir pemandu lori Mohd. Zaki Mamat, 47, dengan kakaknya, Hamidah sebelum beliau dan tiga anggota keluarganya maut dalam kemalangan di Kilometer 106 Jalan Kuantan-Segamat di sini, malam tadi.


‘Aku dah nak balik’, perbualan terakhir mangsa kemalangan maut

Hamidah, 52, berkata, Mohd. Zaki menghubunginya sekitar pukul 7 malam menyebabkan beliau segera menyiapkan tempat tidur untuk arwah dan keluarga di rumah emak mereka, Hasmah Hussein, 74, yang terletak bersebelahan rumahnya di Kampung Demit, Kubang Kerian, Kelantan.

“Bagaimanapun, sekitar pukul 9 malam, adik saya Mohd. Fadli, 36, yang merupakan anggota bomba di Melaka telefon memberitahu Mohd. Zaki terlibat dalam kemalangan.

“Kami bergegas ke sini pada pukul 10 malam selepas diberitahu dua daripada mereka meninggal dunia.


“Di pertengahan jalan baharu terima berita yang empat (orang) meninggal.

Kami patah semula ke Kubang Kerian untuk mengambil anggota keluarga yang lain sebelum bertolak pada pukul 1 pagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di bilik mayat Hospital Muadzam Shah di sini, hari ini.

Hamidah berkata, menjadi rutin adiknya membawa keluarga pulang ke Kelantan setiap kali cuti sekolah bagi melawat ibu yang uzur selain memenuhi undangan kenduri sepanjang cuti.

Pada kejadian pukul 8.50 malam semalam, Mohd. Zaki, isterinya Jamilah Hussen,46, dan dua anak mereka Muhammad Zamil Izzuddin, 19, serta Muhammad Zamil Syazwan, 14, maut selepas kereta Proton Exora dinaiki mereka terbabas dan bertembung dengan kereta dari arah bertentangan.


Kemalangan berpunca akibat tayar hadapan kiri kenderaan itu meletup dan kesemua mereka yang dalam perjalanan dari Merlimau, Melaka maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Dua lagi anak Mohd. Zaki, Siti Nurjeha, 18, dan Siti Nur Nabilah, 10, cedera parah manakala pemandu kereta Honda Civic, Zulkifli Abdullah, 47, yang terbabit dalam kemalangan itu turut cedera. – Bernama

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments