Australia Masih Menaruh Harapan Dalam Pencarian MH370

SYDNEY 4 Mac – Pihak berkuasa Australia yang terlibat dalam misi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 masih berharap untuk menyelesaikan tugas mencari pesawat itu dan tidak akan cepat mengalah, walaupun sudah kesuntukan masa.


Australia Masih Menaruh Harapan Dalam Pencarian MH370
Gambar fail bertarikh 10 April 2014 merakamkan tiga anggota Tentera Laut Australia meninjau Lautan Hindi bagi mencari serpihan pesawat MH370.­ REUTERS
Misi pencarian yang dijalankan di selatan Lautan Hindi, lokasi pesawat penumpang itu dipercayai terhempas pada 8 Mac 2014, melibatkan penggunaan kapal dan pe­ralatan canggih selain melibatkan kos yang tinggi sehingga AS$130 juta (RM536 juta).


Namun, selepas hampir dua tahun, misi pencarian masih gagal menemukan petunjuk jelas dan setakat ini, hanya serpihan flaperon yang dijumpai di Pulau Reunion disahkan milik pesawat MH370, selain penemuan serpihan pesawat sama di Mozambique.

Ketua misi pencarian, Martin Dolan berkata, beliau masih menaruh harapan pesawat Boeing 777 itu akan ditemukan ketika misi pencarian di Lautan Hindi sudah hampir selesai, selepas kawasan seluas lebih 85,000 kilometer persegi daripada 120,000 kilometer persegi selesai diterokai.

“Kami belum me­nemukan lokasi pesawat itu terhempas, tetapi kawasan yang belum ditero­kai masih luas melibatkan kelu lebih 30,000 kilometer persegi.

“Oleh itu, kami masih yakin untuk menemukan pesawat tersebut,” katanya.

Misi pencarian terbabit dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan Australia, Malaysia, dan China.

Ketiga-tiga negara bersetuju untuk menghentikan operasi penca­rian setelah meliputi keseluruhan 120,000 kilometer persegi yang dijangka selesai selewat-lewatnya pada Julai ini sekiranya operasi menemukan kegagalan, melainkan mereka mendapat petunjuk baharu.

Semalam, pertubuhan diwakili ahli keluarga dan waris mangsa tragedi MH370, Voice370 merayu agar misi pencarian itu diteruskan sehingga misteri kehilangan pesawat tersebut terungkai. – AFP



No comments