Ayat Al-Quran Lenyap Sewaktu Hendak Membacanya

PARIT BUNTAR - Seorang naib kadi Pejabat Agama Islam Parit Buntar tidak menyangka dua muka surat ayat suci al-Quran milik Masjid Hijau, Kampung Kedah di sini, lenyap sewaktu hendak membacanya pagi tadi.


Ayat Al-Quran Lenyap Sewaktu Hendak Membacanya
Mohamad Khori menunjukkan perbandingan dua muka surat ayat al-Quran hilang di satu naskhah dengan naskhah al-Quran lain di Masjid Hijau Kampung Kedah.
Mohamad Khori Junus berkata, lebih kurang jam 11.05 pagi, dia menunaikan solat sunat di masjid berkenaan dan berhajat membacakan Surah Al-Waqi’ah sementara menunggu kehadiran pasangan pengantin untuk dijalankan upacara akad nikah.


Menurutnya, dia segera mengambil salah satu naskhah al-Quran yang diletakkan di bahagian mimbar masjid dan terkejut mendapati sebahagian besar ayat Surah Ar-Rahman dan permulaan ayat Surah Al-Waqi’ah yang ingin dibaca ‘hilang’ ketika membukanya.

“Saya sangat terkejut dan memaklumkan perkara itu kepada imam masjid yang kebetulan turut berada di situ bagi menjadi saksi nikah.

“Beliau (imam masjid) memaklumkan tidak pernah mengetahui terdapat sebarang naskhah al-Quran tidak sempurna disimpan pihak masjid dan meminta saya memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Agama Islam Negeri Perak (Jaipk),” katanya kepada media di sini hari ini.

Mohamad Khori berkata, hasil pemeriksaannya mendapati sebahagian ayat dari Surah Ar-Rahman yang hilang bermula ayat 41 hingga ayat 78, manakala ayat dari Surah Al-Waqi’ah pula bermula ayat pertama sehingga ayat 16.

Menurutnya, pada mulanya dia menganggap mungkin berlaku kesilapan pencetakan pada naskhah al-Quran Resam Uthmani yang merupakan cetakan keempat pada sembilan tahun lalu.

“Namun, apabila memikirkan proses pencetakan al-Quran perlu melalui prosedur amat ketat oleh panel pemeriksaan dilantik Jabatan Kemajuan islam Malaysia (Jakim), saya memutuskan penemuan ayat al-Quran hilang mungkin merupakan satu peringatan kepada umat Islam,” katanya.

Lebih mengejutkan, Mohamad Khori mendedahkan intipati sebahagian ayat al-Quran hilang terutama ayat permulaan Surah Al-Waqi’ah menceritakan tentang kejadian-kejadian besar pada hari kiamat.

"Dewasa kini, amalan membaca al-Quran dalam kalangan umat Islam di negara ini dilihat semakin berkurangan terutama dalam kalangan golongan muda.

“Saya berharap penemuan ini tidak disalah tafsir, sebaliknya dijadikan iktibar dan pedoman buat diri saya dan seluruh umat Islam untuk kembali taat kepada perintah Allah SWT dan Rasulnya,” katanya.

Mohamad Khori turut mendedahkan pengalaman ini pertama kali dialaminya dan berharap perkongsian pengalaman itu dapat mengingatkan umat Islam supaya kembali mengimarahkan bacaan al-Quran setiap masa.

Sinar Online

No comments