Terkini

Juruterbang Australia Dakwa 2 Tahun Pencarian MH370 Di Lokasi Salah

Pesawat Malaysia Airlines MH370 tidak ditemui kerana kawasan pencariannya di kawasan yang terletak beberapa ratus kilometer (km) atau lebih dari lokasi sebenar, kata seorang juruterbang veteran komersil Australia.


Juruterbang Australia Dakwa 2 Tahun Pencarian MH370 Di Lokasi Salah

Menerusi satu artikel dalam The Australian, Byron Bailey mengkritik Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) kerana membazirkan 2 tahun mencari pesawat Boeing 777 itu dengan bergantung pada "teori penghujung penerbangan yang tidak masuk akal".

Ia mengakibatkan kawasan pencarian itu tersasar beberapa ratus km atau lebih ke arah utara dan timur.


Bailey, bekas kapten kanan di Emirates selama 15 tahun, pernah menerbangkan model jet penumpang Boeing 777 yang sama seperti penerbangan MH370 dan merupakan bekas pelatih dan juruterbang pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Australia (RAAF).

"Saya dan rakan dalam kumpulan saya iaitu juruterbang dan bekas juruterbang yang sangat berpengalaman di syarikat penerbangan seperti A380 Qantas, B777 British Airways, Emirates B777/A380 dan lain-lain merasakan ATSB membuat kesalahan besar dengan teori penghujung penerbangan yang tidak masuk akal dan akibatnya, kawasan carian itu tersasar beberapa ratus km atau lebih ke utara dan timur.

"Sebab itulah MH370 masih belum dijumpai. Sia-sia saja selama 2 tahun. Kawasan pencarian kini bergerak ke arah selatan dan barat, semakin hampir ke kawasan yang mungkin betul," katanya dalam akhbar itu hari ini.

"Jika MH370 tidak ditemui dalam masa beberapa bulan ini dan pencarian ditangguhkan kerana faktor kos, yang keseluruhannya kini pasti lebih daripada AUS$200 juta (RM604 juta) wang pembayar cukai, maka MH370 akan tersenarai dalam legenda seperti kapal hantu Mary Celeste.

"Sebuah filem mungkin akan dibuat. ATSB tidak akan mendapat kredit. Apa agak tajuknya? 'Pencarian paling lama dan paling mahal dalam sejarah penerbangan' atau 'Sandiwara terbesar dalam sejarah penerbangan."

Bailey bertanya mengapa ATSB tidak mengambil kira teori yang juruterbang mungkin bertanggungjawab terhadap penerbangan yang hilang itu.

Ini walaupun Tim Clark, Ketua Eksekutif Emirates, pengendali B777 terbesar, menyatakan juruterbang tidak akan dapat mematikan alat komunikasi dan pengesanan semasa dalam penerbangan.

Bailey menyifatkan "teori penghujung penerbangan" ATSB sebagai karut semata-mata, mengatakan tanpa autopilot atau seorang juruterbang untuk menjaga tahap sayap, pesawat itu akan menjunam dalam keadaan berpusing, masuk ke dalam laut 90 saat kemudian pada kelajuan 1,200kph dan meletup.

Beliau berkata, pasti selepas 2 tahun, angin dan arus laut akan menghanyutkan beberapa barangan ke daratan.


Bagaimanapun, setakat ini, hanya flaperon ditemui di Pulau Reunion dan kepingan logam yang belum disahkan penemuannya minggu ini di pantai Mozambique, yang dibawa ke Australia untuk diuji.

MH370 hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal pada Mac 2014.– TheMalaysianInsider


No comments