Kisah Sedih, Seorang Bapa 5 Anak Dengan Segelas Milo Dan 4 Gelas Air Suam Di Warung Roti Canai

Dengan perkembangan dunia sekarang, ekonomi yang semakin mendesak, harga barang keperluan harian yang semakin meningkat, pelbagai kisah orang yang memerlukan kita dengar.


Kisah Sedih, Seorang Bapa 5 Anak Dengan Segelas Milo Dan 4 Gelas Air Suam Di Warung Roti Canai

Sebuah kisah yang dikongsikan seorang lelaki di mana seorang ayah membawa anaknya ke warung roti canai, kejadian yang berlaku di depan matanya itu yang begitu meninggalkan kesan kepadanya.

Jom kita baca kisah berkenaan.

Aku ditampar di warung kopi.

Pagi tadi sewaktu mengeteh di kedai Along, saya lihat ada seorang bapa datang bersama anaknya yang masih kecil, semuanya 5 orang. Sampai di pinggir warung, mata si bapa terkebil-kebil mencari sudut yang tidak panas. Dia mahu kawasan yang redup untuk anak-anak.


Sambil hirup perlahan teh o panas dan menyuap roti canai garing ke dalam mulut, saya perhatikan saja keluarga ini. Datanglah Jonos ke meja mereka. Si Jonos budak muda yang berkuli dengan Along setiap pagi.

“Pagi bang, mai saya ambil order minum dulu. Nak minum apa ?”.

“Hmm, bagi milo satu dengan air suam empat”, balas si bapa tadi.

“Makan apa bang ?” soal Jonos.

“Buat roti canai 3, potong halus, banjir ya”, pesan si bapa.

Naluri kebapaan saya ini bagaikan dapat membaca apakah yang bakal berlaku sekejap lagi. Air teh saya mula terasa tawar, roti canai depan mata saya kuis-kuis dengan sudu sambil bermain perasaan. Allahu..

Sebaik minuman dan makanan yang dipesan tadi sampai ke meja mereka. Si bapa mencampurkan secawan milo tadi ke dalam empat cawan air suam anak anaknya. Si anak mengangkat tangan serentak sambil membaca doa makan. Kedengaran perlahan, ” Bismillahirahmanirahim, Allahumma barik lana fi ma razak tana. Wa qina azabannar. Amin”.

“Hah, minum slow-slow air milo tu ya” kata si bapa.

Roti canai banjir tadi juga dibahagikan seorang sedikit. Maka berkongsilah sesuap dua adik beradik ini. Roti canai Along memang sedap dan terkenal di sini, terpancar sinar ceria dan suka di wajah mereka semua.

Tidak ada seorang pun anak-anak yang mengeluh. Tidak ada seorang pun antara mereka yang nakal. Semuanya duduk tertib, makan dan minum dengan sopan sekali. Seolah mereka mengerti nilai sebuah kesyukuran di pagi ini.

Tidak sampai 20 minit, mereka habis makan dan berlalu pergi. Saya kembali merenung roti canai yang sudah kembang di dalam pinggan. Kepala terus berfikir, pengajaran apakah yang Tuhanku mahu ajarkan di pagi hari begini ?

Sahabat, terkadang kita merasakan hidup kita sudah cukup susah apabila diuji dengan sedikit masalah. Rupa-rupanya masih ada yang lebih susah berbanding kita. Bukan kesusahan itu yang mahu kita nikmati, tetapi nilai disebalik setiap situasi itulah yang patut kita syukuri.

Sungguh, aku seperti ditampar di warung kopi.

Boleh kongsi cerita ini dengan semua orang yang kita sayang.

Ikram Al-Banjari.

Saudagar Jalanan – Siakapkeli.my


Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments