Terkini

Pencerapan Bulan Gerhana Penumbra Terjejas Akibat Hujan Gerimis

Kuala Lumpur: Pencerapan gerhana bulan penumbra malam ini terjejas berikutan hujan gerimis, namun ia tidak menghalang orang ramai mengunjungi Planetarium Negara di sini. Gerhana bulan penumbra berlaku bila bulan keluar sepenuhnya dari bayang penumbra bumi, buat kali pertama tahun ini antara 7.30 malam hingga 9.30 malam.


Pencerapan Bulan Gerhana Penumbra Terjejas Akibat Hujan Gerimis

Planetarium Negara bagaimanapun menyediakan televisyen dan “skrin besar” bagi memaparkan visual gerhana bulan secara langsung yang diperolehi dari menara pencerapnya. Walaupun tidak dapat melihat dengan jelas, hampir 500 pengunjung ke Planetarium Negara tetap menunggu hingga gerhana berakhir. Kali terakhir gerhana bulan penumbra berlaku ialah pada 28 November 2012, dan tahun ini ia dijangka berlaku lagi pada 17 September ini.


Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Dr Noordin Ahmad memberitahu pemberita terdapat perbezaan antara gerhana bulan penumbra dengan gerhana bulan. Gerhana bulan penumbra ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan memerlukan alat bantuan seperti teleskop, dan perlu menghadap ke arah timur iaitu arah ketika bulan terbit, katanya.

Beliau berkata, gerhana bulan boleh dilihat mata kasar tanpa memerlukan bantuan peralatan. Seorang pengunjung, Ramamurthy Desu Naidu, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Jaya yang teruja melihat gerhana bulan penumbra agak terkilan kerana cuaca yang tidak menggalakkan malam ini. Beliau yang meminati bidang astronomi, sebelum ini hanya melihat fenomena itu melalui YouTube, dan amat teruja untuk melihatnya malam ini.

“Tahun lalu pun saya juga tidak melepaskan peluang untuk melihat gerhana bulan penuh tetapi kali ini gerhana bulan penumbra tidak dapat dilihat dengan jelas,” katanya. Suri rumah Azira Aziz, 36, berkata, kehadirannya di Planetarium Negara bersama suami dan tiga anaknya untuk memberi pendedahan mengenai dunia angkasa kepada anak-anaknya yang berumur antara empat hingga 11 tahun. Beliau berharap pendedahan itu di peringkat awal dapat memupuk minat anak-anaknya mengenai kejadian alam semula jadi.

Program itu yang dianjurkan bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan syarikat Starfield Instruments Supply turut mengadakan beberapa aktiviti termasuk taklimat mengenai gerhana bulan penumbra, pencerapan planet Musytari, “Space Glow In The Dark”, dan tayangan filem “Earth, Moon and Sun”. – BERNAMA


Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments