Sadis!!.. Insiden Budak Sekolah Termakan Kaca Dalam Bihun

Kementerian Kesihatan akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan mengenai cadangan melarang pengusaha kantin menyediakan makanan dari rumah, susulan kejadian tujuh pelajar termakan bihun goreng yang tercemar dengan serpihan kaca.


Sadis!!.. Insiden Budak Sekolah Termakan Kaca Dalam Bihun

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, siasatan mendapati menu di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) itu disediakan oleh pengusaha kantin terbabit di rumah sebelum dibawa ke sekolah.

Beliau berkata, amalan pengusaha kantin menyediakan makanan di rumah menyukarkan pemantauan oleh pihak kementerian atau guru terhadap tahap kebersihan dapur.


“Kita telah memberi garis panduan dan latihan kepada guru di sekolah supaya mereka tubuh jawatankuasa untuk jalankan pemeriksaan sendiri ke atas kantin dan Kementerian Kesihatan buat pemantauan secara berkala.

“Pemeriksaan itu dibuat di dapur kantin, tetapi jika makanan dimasak di rumah, itu kita tak dapat periksa. Jika amalan ini dipraktikkan secara meluas maka menjadi masalah untuk kita buat pemantauan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Pada Jumaat lepas, tujuh murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Nigel Gardner, Hulu Selangor dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh akibat termakan serpihan kaca dalam bihun goreng.

Dr Subramaniam berkata, pada tahun lepas sebanyak 13,674 pemeriksaan kantin dilaksanakan di seluruh negara dan 66 pengusaha kantin diarah menghentikan operasi di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Mengulas mengenai keadaan pelajar terbabit, beliau berkata lima dibenarkan pulang manakala dua lagi masih menerima rawatan di hospital.

“Mereka tidak mengalami masalah kesihatan yang besar, tetapi mereka memerlukan rehat yang mencukupi untuk kembali sihat seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan telah menggantung pengusaha kantin itu sementara siasatan penuh dijalankan.

“Kaca itu datang dari mana masih tidak diketahui kerana ia mungkin masuk di dapur rumah pengusaha terbabit atau dalam perjalanan sejauh 24 kilometer dari rumah ke kantin,” katanya sambil menambah laporan penuh siasatan berkenaan akan diperoleh tiga minggu lagi.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut berkongsi rasa marah ibu bapa murid berkenaan dan mengarahkan siasatan menyeluruh dilakukan bagi mengenal pasti masalah dalam prosedur kendalian makanan agar perkara sedemikian tidak berulang.


Dr Subramaniam, berkata jika ibu bapa atau pelajar ragu terhadap status kebersihan makanan yang dihidangkan di kantin sekolah, mereka boleh memaklumkan kepada pihak sekolah atau membuat laporan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Laporan juga boleh dilakukan di Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) melalui laman web moh.spab.gov.my atau laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di http://www.facebook.com/bkkmhq. – Bernama


No comments