Terkini


SPRM Tahan Pegawai Kanan Seleweng Dana RM100 Juta

PUTRAJAYA – Setiausaha bahagian di sebuah kementerian dipercayai menerima imbuhan mencecah RM20 juta termasuk rumah, kereta mewah dan unit amanah selepas disyaki mendalangi sindiket penyelewengan dana kerajaan.


SPRM Tahan Pegawai Kanan Seleweng Dana RM100 Juta

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki menunjukkan sebahagian hasil rampasan barangan mewah dipercayai berkaitan dengan sindiket penyelewengan dana kerajaan di Putrajaya, hari ini.

Pegawai kanan itu adalah antara sembilan individu termasuk seorang wanita yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, kerana dipercayai menggerakkan sindiket secara bersama hingga menyebabkan kerugian lebih RM100 juta.


Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki, berkata mereka yang ditahan berusia antara 32 hingga 56 tahun.

Katanya, semua ahli sindiket berkenaan ditahan di sekitar Lembah Klang dan direman tujuh hari bermula pada Jumaat.

“Lapan ahli sindiket yang lain adalah kontraktor penganjuran program berkaitan kementerian berkenaan.

“Modus operandi sindiket ini adalah mengarahkan bahagian kewangan agensi kerajaan berkenaan membuat bayaran kepada tidak kurang daripada 14 syarikat yang dikendalikan lapan ahli sindiket itu bagi program yang tidak pernah dilaksanakan.

“Tiada tuntutan dikemukakan oleh syarikat berkenaan kepada kementerian itu tetapi pegawai kanan berkenaan memastikan bayaran dibuat kepada syarikat,” katanya pada sidang media di sini pada Sabtu.


Azam berkata, jumlah suapan diterima pegawai kanan itu dianggar mencecah RM20 juta termasuk rumah, kereta mewah, pembayaran insurans dan unit amanah bernilai jutaan ringgit, penggunaan kemudahan kad kredit tambahan dan beg tangan berjenama.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan kesalahan pengubahan wang haram mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001. – Berita Harian

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments