Terkini


“Tolong Selesaikan Hutang, Saya Nak Masuk Syurga”, Al-Fatihah

Kuala Nerang - “Kak Long tolong selesaikan segala hutang saya lepas dapat duit simpanan arwah bapa ya, sebab saya nak masuk syurga,” demikian kata-kata terakhir seorang mangsa lemas kepada kakaknya, Siti Mariam Abu Bakar Yap, 22.


“Tolong Selesaikan Hutang, Saya Nak Masuk Syurga”, Al-Fatihah
Anggota JPAM membawa beberapa anggota unit menyelam bagi mencari mangsa lemas di Sungai Pedu, semalam. Gambar kecil: Mohd Firdaus Yap
Mohd Firdaus Yap Abu Bakar Yap, 18, ditemui mati lemas di Sungai Pedu di Pusat Rekreasi Pengkalan Tok Mas, kelmarin.

Siti Mariam berkata, kata-kata itu diucapkan adiknya dalam satu perbualan di telefon baru-baru ini.

Dalam pada itu menurutnya, keluarganya dimaklumkan oleh rakan Mohd Firdaus berkenaan tragedi berkenaan kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.


"Lepas dengar berita itu, saya segera ke tempat kejadian.

"Walaupun kami masih terkejut dengan apa yang berlaku, tapi kami reda," katanya.

Difahamkan, mangsa pada mulanya tidak berniat untuk mandi di situ tetapi mungkin disebabkan cuaca panas, Mohd Firdaus turut turun ke sungai dengan hanya memakai seluar jeans.

Menurut Siti Mariam, Mohd Firdaus yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu dikatakan baru pulang dari majlis perkahwinan di Keda Bukit Ular dan hanya menemani tiga rakannya untuk pergi mandi di kawasan berkenaan.

"Adik dikatakan cuba berenang sampai ke tengah sungai dan beberapa minit kemudian, terdengar suara dia minta tolong.

"Mulanya kawan ingat dia bergurau saja, tapi bila nampak adik makin dibawa arus deras, mereka cuba membantu tapi gagal," katanya.

Ketua Polis Padang Terap, Deputi Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, keadaan arus sungai yang deras menyebabkan mangsa mungkin dihanyutkan air.

"Operasi mencari bermula sejak jam 5 petang hingga 7.30 malam dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM)," katanya.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, mayat mangsa ditemui oleh unit anggota air Jabatan Bomba dan Polis pada jam 5.25 petang semalam.



Menurutnya, mayat mangsa dijumpai di Titi Lubuk Merbau kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

"Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi menyelamat mengambil masa selama 25 jam yang bermula sejak kelmarin," katanya.

Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut turun meninjau kawasan kejadian dan mendapat maklumat terkini daripada pihak berkuasa.

Sumber: Sinar Harian

Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments