Bukan Untuk Dijual, Walaupun Ada Pembida Tawarkan RM10,000

GEORGE TOWN - Pelbagai tawaran, termasuk wang tunai sehingga RM10,000 diterima untuk membeli ular sawa besar yang ditangkap baru-baru ini, tetapi pihak berkuasa berkata tidak ada pembida yang akan berjaya mendapatkannya.



Ular sawa jantan itu dengan ukuran 7.5 meter panjang dan berat kira-kira 250kg bukan untuk dijual dan akan dilepaskan semula ke dalam hutan.

Reptilia itu kini menjadi perhatian ramai selepas ia ditangkap di sebuah tapak pembinaan jejambat di Paya Terubong, Khamis lalu.

Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Romzi Musa berkata beberapa orang telah membuat tawaran untuk membeli ular tersebut apabila mereka datang melihat reptilia itu di pusat operasi jabatan itu di daerah barat daya yang terletak di Jalan Dato Ismail Hashim, Bayan Lepas.

"Seorang daripada mereka menawarkan kami RM10,000. Sudah tentu kami kata 'tidak'," katanya, Sabtu.

Romzi berkata pusat itu telah menarik ramai pengunjung sejak ular sawa itu diletakkan di bawah jagaannya buat sementara.


Beliau berkata reptilia itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara dalam tempoh seminggu lagi.

"Orang ramai dialu-alukan untuk datang dan melihat ular sawa ini dari pukul 5.00 hingga 7.00 petang," katanya.

Beberapa orang yang melawat pusat itu semalam berpeluang menyentuh reptilia itu apabila ia telah dibawa keluar dari sangkar dan disembur air untuk memastikan ia sejuk.

Pita selofan telah digunakan sebagai 'pengikat' mulut ular sawa bagi langkah keselamatan.

Peniaga basikal Ng Kok Lam, 54, berkata beliau mengetahui mengenai ular itu melalui rakan-rakan dan media sosial.

"Saya perlu melihatnya sendiri dan mengambil foto sebelum ia tiada," katanya, sambil menambah ia benar-benar menakjubkan.


Pelajar Hafiz Hairol Hasni, 13, bersama dua rakannya telah dikesan sebagai 'amat mengagumi' reptilia itu apabila mereka telah melawatnya sebanyak 10 kali sejak tiga hari lalu.

"Ini adalah kali pertama kami menyentuhnya," katanya teruja.

Suri rumah Azdawati Othman, 36, yang datang bersama suaminya Yusman Yusof, 38, dan empat orang anak berkata anak-anaknya sukakan haiwan dan mahu melihat ular sawa tersebut.


Ular ini pertama kali ditemui oleh pekerja-pekerja yang membina jejambat itu.

Enam anggota JPAM telah dikerahkan untuk menangkap reptilia itu yang ditemui di bawah sebatang pokok yang tumbang, kira-kira 100 meter dari jalan terdekat dari situ.

Ia adalah ular sawa yang terbesar dan terpanjang yang ditangkap di Pulau Pinang setakat ini.

Sumber: mStar.
------------
Untuk dapatkan makluman berita terkini, viral dan informasi berguna dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

No comments